KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mendakwa tidak ada apa-apa bukti kukuh untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 melakukan pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta.
Malah, katanya, perbicaraan kes itu juga tidak dijalankan selama enam tahun dengan dokumen berkaitan kes tersebut tidak diperoleh sehingga ke hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, pendakwaan ke atas Najib itu mungkin satu pertuduhan yang bersifat dendam semata-mata terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan yang dianiaya selama ini.
“Sama juga dengan kes lembu NFC dulu yang Rafizi canangkan satu Malaysia dahulu yang mana mahkamah putuskan tidak bersalah setelah beberapa tahun lamanya.
“Akhirnya rakyat boleh menilai siapa yang dizalimi dan siapa yang membohong selama ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Kenyataan Dr Muhamad Akmal itu bagi menjawab persoalan yang dikemukakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkenaan mengapa pihak pendakwa raya masih gagal menyediakan bukti dalam kes SRC melibatkan Najib.
Terdahulu, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi dalam kenyataan melahirkan rasa hairan dan kecewa terhadap kelewatan pendakwa raya yang masih gagal menyediakan dokumen penting bagi meneruskan perbicaraan kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta melibatkan Najib tersebut.
Menurut Rafizi, beliau benar-benar tidak faham mengapa pihak pendakwa raya mengambil masa selama enam tahun sejak 2019 untuk menyiapkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan bagi memulakan perbicaraan.
Kenyataan Rafizi itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi yang membenarkan permohonan Najib untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd kerana pihak pendakwa belum bersedia memulakan perbicaraan. – MalaysiaGazette
















