Hasbullah Alias dibawa keluar dari kamar mahkahmah dan diiringi oleh Pegawai SPRM Pahang hari ini.

KUANTAN –  Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak rayuan seorang polis berpangkat ASP yang didapati bersalah menerima rasuah RM5,000 pada tujuh tahun lepas.

Tertuduh, Hasbullah Alias, 48, mengganguk faham setelah diputuskan oleh Hakim Datuk Mohd Radzi Harun sekali gus mengekalkan keputusan hukuman sebelum ini.

Terduduh diwakili peguambela Ahmad Nur Faid Afiq Aziz dan Mohd Yamin Mustafa Ramdzuan manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Pihak pembelaan bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tertuduh kerana akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Afiq Aziz dalam hujahannya menyatakan, faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan penangguhan pelaksanaan hukuman susulan tiada alasan penghakiman disediakan oleh Mahkamah Sesyen sebelum inimenyukarkan akses anak guamnya mendapat keadilan.

“Permohonan penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah sementara menunggu keputusan rayuan didengar di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Hakim Datuk Mohd Radzi kemudian membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut dengan syarat wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang pejamin.

Selain itu, tertuduh perlu menghadirkan diri ke Pejabat SPRM Kuantan pada Isnin pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Hasbullah yang sebelum ini berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki di sebuah restoran di Jalan Beserah di Kuantan pada 12.37 tengah hari, 7 Mei 2018.

Suapan wang tunai itu didakwa untuk diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes dadah. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast