NEW DELHI – Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India (AAIB) masih belum memutuskan sama ada perakam data penerbangan dan suara kokpit daripada pesawat Air India yang terhempas pada Khamis lalu akan dihantar ke luar negara untuk dianalisis dan dihuraikan.
Sekurang-kurangnya 270 orang, kebanyakannya penumpang terbunuh apabila pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang menuju ke London itu terhempas kurang daripada seminit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di barat India.
Beberapa media melaporkan kotak hitam akan dihantar ke luar negara, namun kementerian penerbangan awam menjelaskan tiada keputusan muktamad telah dibuat.
Kementerian berkata, AAIB akan menentukan lokasi analisis selepas “penilaian sewajarnya terhadap faktor teknikal, keselamatan dan sekuriti”.
Penyiasat telah menemui kedua-dua set Enhanced Airborne Flight Recorders (EAFR) atau kotak hitam dari lokasi nahas Boeing 787 itu.
Unit gabungan ini, yang merakam data penerbangan dan audio kokpit, telah dijumpai pada 13 dan 16 Jun.
Model pesawat tersebut membawa dua set perakam bagi membantu analisis yang menyeluruh.
Namun, beberapa media melaporkan bahawa perakam itu telah rosak teruk akibat kebakaran yang melanda pesawat selepas terhempas, menyukarkan proses pengambilan data di India dan kerajaan merancang untuk menghantarnya ke Amerika Syarikat.
Kapten Kishore Chinta, bekas penyiasat kemalangan dengan AAIB, memberitahu BBC bahawa satu set perakam juga boleh dihantar ke AS “untuk membandingkan data yang dimuat turun di India dengan yang diberikan kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB)”.
Beliau berkata, walaupun makmal baharu AAIB di New Delhi telah dirasmikan pada bulan April, “masih tidak jelas sama ada ia sudah berfungsi sepenuhnya untuk memuat turun data EAFR”.
Sementara itu, Pengerusi Air India memaklumkan salah satu enjin pesawat yang terhempas minggu lalu adalah enjin baharu, manakala yang satu lagi tidak dijadualkan untuk penyelenggaraan sehingga Disember.
Dalam wawancara bersama saluran berita Times Now, N Chandrasekaran berkata, kedua-dua enjin pesawat mempunyai rekod “bersih”.
Secara berasingan, syarikat penerbangan itu menyatakan, pemeriksaan telah selesai ke atas 26 daripada 33 pesawat Boeing 787-8 dan 787-9 miliknya, dan semuanya telah “diluluskan untuk operasi”.
Pengawal selia penerbangan India telah mengarahkan pemeriksaan keselamatan tambahan ke atas armada Boeing 787 Air India selepas nahas maut itu sebagai “langkah pencegahan”.
Pada hari Khamis, syarikat penerbangan itu mengumumkan penerbangannya akan dikurangkan bagi 16 laluan antarabangsa dan digantung bagi tiga destinasi luar negara antara 21 Jun dan 15 Julai.
“Pengurangan ini timbul daripada keputusan untuk secara sukarela melaksanakan pemeriksaan keselamatan pra-penerbangan yang dipertingkatkan, serta menyesuaikan tempoh penerbangan tambahan akibat penutupan ruang udara di Timur Tengah,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. – Agensi
















