KUALA LUMPUR – Belum ada perbincangan untuk memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berkaitan fatwa yang dikeluarkan terhadapnya.
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, permohonan semakan perlu berasaskan kepada beberapa syarat tertentu sebelum ia difaikan dan seterusnya dipertimbang oleh satu panel lain Mahkamah Persekutuan.
Beliau merupakan peguam yang berhujah mewakili MAIS dalam rayuan SIS Forum untuk mencabar fatwa pihak berkuasa agama Selangor pada prosiding 2 Disember tahun lalu.
Jelas beliau, semakan bukan boleh dilakukan begitu sahaja kerana ia berasaskan kepada syarat-syarat yang ketat seperti kegagalan koram bersidang.
Ujar beliau, syarat lain termasuk penghakiman yang diperolehi berdasarkan fraud atau penyembunyian fakta material, perlanggaran undang-undang yang jelas dan sebagainya manakala rayuan juga tidak bersifat seperti rayuan biasa.
“Memang betul, belum ada perbincangan dalam kalangan peguam dan penghakiman penuh mahkamah yang baru diperoleh semalam perlu diteliti secara terperinci.
“Sebarang perbincangan ke arah itu (sama ada untuk memfailkan semakan) hanya akan dilakukan selepas meneliti penghakiman penuh.
“Ia membolehkan kami memberi nasihat perundangan kepada MAIS untuk tindakan lanjut,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Untuk rekod, permohonan semakan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dikemukakan di Mahkamah Persekutuan untuk didengar oleh satu panel lain.
Yusfarizal mengulas cadangan pelbagai pihak termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahukan MAIS memfailkan permohonan agar keputusan semalam disemak dan dimuktamadkan.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia penting bagi mengatasi isu penyelewangan akidah yang dibuat oleh organisasi seperti yang pernah berlaku ke atas Al-Arqam dan GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Muhammad Faiz yang juga seorang peguam berkata, Amanah melihat kes itu diputuskan bukan secara sebulat suara sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan dengan itu wajar serta mempunyai merit untuk disemak semula.
Semalam, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam.
Sebaliknya, Tengku Maimun berpendapat, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan satu dan empat.
SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar merayu dalam usaha mendapat perintah mahkamah tertinggi negara untuk membatalkan fatwa yang dikeluarkan 12 tahun lalu yang melabelnya sebagai sesat dan menyeleweng. – MalaysiaGazette
SIS: Amanah gesa MAIS fail permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan














