KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan fatwa ke atas Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia).
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia penting bagi mengatasi isu penyelewangan akidah yang dibuat oleh organisasi seperti yang pernah berlaku ke atas Al-Arqam dan GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Menurutnya, Amanah melihat kes itu telah diputuskan secara majoriti (dissenting) sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan dengan itu wajar serta mempunyai merit untuk disemak semula.
Di samping itu, tambah beliau, Amanah turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri menubuhkan jawatankuasa bersama yang turut disertai oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi mengkaji kesan keputusan tersebut memandangkan ia dibuat oleh mahkamah tertinggi (apex court) dalam negara.
“Selain itu, Amanah turut mencadangkan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya kuasa pihak berkuasa agama Islam juga terpakai ke atas pertubuhan sama ada persatuan atau syarikat (artificial persons).
“(Ini) supaya kedudukan agama Islam diperkasakan selaras dengan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan berpendirian fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng serta tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat bukan individu yang menganut agama Islam.
Sebaliknya, Tengku Maimun berpendapat, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan satu dan empat. – MalaysiaGazette
















