Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hadir ke Majlis Pra Tonton Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 21 JUN 2025

SEPANG – Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi fasa pertama akan mula beroperasi selewat-lewatnya 1 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sekiranya kesemua tiga gerabak Aerotrain itu melepasi sesi percubaan dan ujian terakhir termasuk kesediaan tindak balas kecemasan (ERP), ia boleh beroperasi bermula jam 10 pagi.

“Sekiranya semua berjalan dengan lancar, sukacita saya nak menyatakan bahawa perkhidmatan Aerotrain KLIA akan mula kembali beroperasi dan berkhidmat mulai 10 pagi, 1 Julai 2025 iaitu kira-kira dalam 10 hari lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hadir ke Majlis Pra Tonton Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1), Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 21 JUN 2025

Terdahulu Loke melakukan lawatan ke terminal dan mencuba sendiri perkhidamatan Aerotrain KLIA sebelum dibuka kepada semua pengguna, bermula bulan depan.

Mengikut rekod, Aerotrain KLIA dirancang sebagai projek tiga tahun yang bermula pada Mac 2022, namun mengalami kelewatan disebabkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menaiktaraf fasiliti sedia ada termasuk laluan utama.

Sebelum ini, MAHB menandatangani Letter of Agreeméent (LOA) dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (Alstom) dan JV IJM Construction Sdn Bhd, Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV) pada 12 Januari 2024.

Berdasarkan analisis, pihak MAHB menjangkakan kos terkini mencecah RM456.1 juta.

Projek Aerotrain KLIA melibatkan pembelian sembilan gerabak dengan setiap satunya boleh menampung sehingga 90 penumpang dan 270 orang bagi setiap perjalanan.

Dalam pada itu, Loke memberitahu, perkhidmatan bas perantara masih beroperasi seperti biasa dan penutupan pengangkutan hanya akan dikaji semula sekiranya semua masalah itu dapati diatasi sepenuhnya pada masa akan datang.

“Selepas Aerotrain ini mula kembali beroperasi fasa awal ini, saya telah meminta pihak MAHB untuk memastikan ada kesinambungan dan memastikan kita mempunyai pelan mitigasi yang baik.

“Walaupun Aerotrain akan kembali beroperasi, tetapi perkhidmatan bas pengantara kita juga masih akan dikekalkan iaitu pihak kedua-dua perkhidmatan ini akan dapat kita gunakan,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, hanya dua gerabak Aerotrain KLIA sahaja yang akan beroperasi sepenuhnya secara selang-seli, manakala sebuah lagi akan dijadikan sebagai unit sandaran (backup)

“Kedua-dua landasan akan digunakan tetapi untuk waktu engineering, salah satu train sahaja yang akan beroperasi kerana kita nak memastikan juga supaya train ini dapat diselenggara dengan baik.

“Sebab itu kita mengambil masa untuk membuat pelbagai ujian dan ia tentu akan dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Loke berkata, projek Aerotrain KLIA penting untuk meningkatkan imej negara di mata dunia bagi memastikan Kepengerusian ASEAN 2025 berjalan dengan lancar sepanjang tahun ini.

“Tahun ini adalah penting kerana kami merupakan pengerusi ASEAN, lebih banyak mesyuarat dalam beberapa bulan ke depan sehingga akhir tahun di mana satu lagi sub-mit akan diadakan di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain ASEAN, perkhidmatan baharu itu penting sebagai persediaan negara untuk menyambut kehadiran jutaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).

“Tahun 2026 sangat penting bagi pelancongan Malaysia kerana kami akan mengadakan Tahun Melawat Malaysia.

“Pembukaan Aerotrain KLIA sangat penting sebagai sebahagian daripada persiapan untuk melawat Malaysia pada tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast