KUALA LUMPUR – Beberapa sekolah di sekitar Parlimen Sungai Buloh akan menerima penambahan bilik darjah bagi menangani masalah kepadatan pelajar yang semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, penambahan bilik darjah itu melibatkan sekolah rendah dan menengah di kawasan berpenduduk padat.
Antaranya adalah SMK Saujana Utama, SMK Bandar Baru Sungai Buloh, SMK Sierramas, SMK Bukit Gading, SK Seksyen 6 Kota Damansara dan SK Seri Pristina.
“Kalau kita lihat, SMK Sierramas sebelum ini terpaksa menggunakan kabin kerana terlalu sesak. Sekarang kita tambah empat bilik darjah di sana.
“SMK Saujana ditambah empat, SMK Bandar Baru Sungai Buloh tiga, SMK Bukit Gading tiga dan SK Sri Pristina pula empat bilik darjah. SK Seksyen 6 Kota Damansara pula ditambah satu kelas baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif kepada 311 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari kawasan Parlimen Sungai Buloh yang memperoleh keputusan 7A hingga 11A, hari ini.
Menurutnya, langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR), dan ketika ini projek tersebut berada dalam fasa tender.
“Saya tidak umumkan jumlah peruntukan sebab ia masih dalam proses perolehan. Kita tak mahu ganggu proses tersebut.
“Tapi saya sangat berterima kasih kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang sentiasa menyokong usaha untuk membaik pulih dan menambah kemudahan sekolah di kawasan ini,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa penambahan bilik darjah adalah antara usaha berterusan bagi memastikan keselesaan pembelajaran serta mengurangkan beban guru dan pelajar di sekolah yang mengalami tekanan kapasiti.
Seramai 311 pelajar lepasan SPM 2024 dari kawasan Sungai Buloh menerima insentif kecemerlangan berjumlah RM143,200, hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Mengulas mengenai program tersebut, Ramanan menyifatkan insentif berkenaan sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada usaha gigih pelajar dan bukti komitmen kerajaan untuk memartabatkan pendidikan sebagai pemacu perubahan sosial.
“Insentif ini bukan sekadar penghargaan atas pencapaian akademik, tetapi juga satu dorongan kepada pelajar untuk terus melakar kejayaan. Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang menjadi tulang belakang kejayaan ini,” ujarnya katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pengiktirafan seumpama ini dapat meningkatkan motivasi pelajar dan membina modal insan berkualiti.
Kesemua penerima insentif merupakan pelajar yang memperoleh 7A hingga 11A dalam SPM, melibatkan pelajar dari 11 buah sekolah menengah termasuk SMK Bandar Sungai Buloh, SMK Sierramas, SMK Bukit Gading, SMK Saujana Utama, SMK Subang Bestari dan lain-lain di sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















