Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas menyampaikan insentif kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kota Damansara, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat penting melibatkan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini.

Antara intipati yang dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk  pelantikan Naib Presiden parti itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengesahkan perkara tersebut

“Hari ini memang ada mesyuarat Biro Politik dan diikuti dengan mesyuarat pimpinan pusat (MPP). Jadi kita akan berbincang beberapa perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif kepada 311 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari kawasan Parlimen Sungai Buloh yang memperoleh keputusan 7A hingga 11A, hari ini.

Namun begitu, beliau tidak mengesahkan sama ada pelantikan Naib Presiden akan diumumkan hari ini, sebaliknya menjelaskan keputusan akhir terletak di tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Biar Presiden yang membuat pengumuman berkaitan isu tersebut. Saya tidak boleh beri apa-apa kepastian kerana keputusan muktamad akan dibuat oleh Presiden sendiri.

“Saya ingat mungkin petang ini akan ada pengumuman atau mungkin juga ditangguhkan ke esok.

“Pelantikan bagi Wanita dan AMK telah pun diumumkan, cuma untuk pimpinan pusat, kita tunggu keputusan Presiden,” jelasnya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) baharu PKR akan bermesyuarat buat kali pertama pada Sabtu, dengan pemilihan tiga naib presiden lantikan dijangka menjadi antara agenda utama.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, seorang pemimpin dari Malaysia Timur berkemungkinan dinamakan untuk salah satu jawatan tersebut, dengan pelantikan itu dijangka menarik perhatian khusus menjelang PRN Sabah.

Dalam perkembangan lain, Ramanan turut ditanya mengenai kelewatan penyaluran dana Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

Beliau berkata, perkara itu berada dalam tanggungjawabnya dan penjelasan penuh akan diberikan di Parlimen selepas mendapat laporan rasmi.

“Saya tahu sebab saya yang akan memberi jawapan di Parlimen. Hal berkaitan komuniti India ini saya dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri.

“Tetapi sekarang masih dalam proses kelulusan. Kita tunggu dulu laporan daripada bahagian kewangan di Jabatan Perdana Menteri sebelum saya beri penjelasan penuh.

“Kalau saya beri sekarang, sedikit saya bagi, sedikit saya tak bagi, nanti nampak saya pula yang mengelirukan semua orang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast