Takiyuddin Hassan

 

KUALA LUMPUR – Agenda moral, nilai unggul dan akhlak akan kekal sebagai tonggak utama dasar, tindakan, wawasan serta standard bagi Pas sebagai sebuah parti berteraskan Islam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, agenda itu akan memandu perjalanan Pas serta kehidupan bermasyarakat dan bernegara bagi membuahkan persekitaran yang baik untuk semua pihak dan kalangan.

Bagaimanapun, menurut beliau, komitmen kepada moral dan akhlak dalam kehidupan, baik peribadi atau awam tidaklah eksklusif kepada Pas atau Islam.

Sebaliknya, jelas beliau, ia mendapat perhatian banyak pemikir dan penulis besar sejak zaman berzaman dan terus menjadi topik penting hingga ke hari ini, terutama apabila berlakunya kerosakan besar yang menggugat kecekapan fungsi institusi politik serta kepercayaan orang awam terhadapnya.

Jelasnya, ini memberi gambaran tentang kepentingan dan keutamaan moral dan etika sebagai teras kehidupan awam, termasuk politik dan kerajaan.

Tambahnya, nilai dan kepercayaan awam adalah tonggak kepada kepimpinan politik yang beretika, sementara kepercayaan awam itu sendiri merupakan unsur penting kepada keberkesanan sesebuah kerajaan demokratik.

“Ini berlawanan dengan kerajaan semasa yang bukan sahaja dilihat gagal menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum ini, tetapi turut terpalit dengan dakwaan kronisme, penyalahgunaan kuasa, sekatan kebebasan bersuara dan sebagainya yang menghakis kepercayaan bukan sahaja orang awam, tetapi juga penyokong tegarnya,” katanya dalam kenytaaan hari ini.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada komentar bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkenaan perkembangan politik negara, khasnya tentang Pas seperti yang disiarkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.

Menerusi komentar itu, Zaid turut menyatakan pandangan tentang kekuatan dan kelemahan Pas serta langkah-langkah yang wajar diambil bagi mengatasi kekurangan yang ada sebagai syarat penting kepada keberhasilan usaha dan cita-cita parti itu untuk memimpin negara.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas juga komited kepada kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti, keterbukaan, integriti, kejujuran, keadilan serta kepimpinan berhemah dalam menjalankan peranannya sebagai parti politik dan juga kerajaan.

Ia jelas beliau, demi memajukan kepentingan awam, sekali gus mempertahankan kepercayaan orang ramai terhadap institusi, sistem dan proses pemerintahan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast