KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar hairan dengan kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa tidak boleh memberi pandangan berbeza sebagai salah seorang Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut melahirkan rasa pelik apabila Rafizi mendakwa tidak boleh memberi komen berkenaan kementerian lain dan kerajaan hanya mengharapkan komen daripada ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Sedangkan, kata bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkenaan, berdasarkan pengalamannya di bawah tiga kerajaan berbeza, sesuatu keputusan Kabinet perlu dibuat secara `collective’ (bersama).
Jelas beliau, sekiranya ada anggota Kabinet lain yang mempertikaikan kertas Kabinet yang dibentangkan oleh seseorang Menteri, kebiasaannya kertas Kabinet itu akan ditarik balik dan Menteri berkenaan boleh membawa semula pada mesyuarat seterusnya.
“Jika cadangan daripada kertas Kabinet tersebut boleh menimbulkan kontrovasi dalam kalangan rakyat, selalunya Kabinet akan menubuhkan satu jawatankuasa khas Kabinet untuk mengkaji kertas cadangan tersebut dengan lebih mendalam yang akan melibatkan kementerian dan agensi-agensi yang terlibat.
“Anggota Kabinet juga boleh membangkitkan sesuatu isu di dalam mesyuarat di bawah agenda perkara berbangkit,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Kenyataan Noh itu dipercayai merujuk kepada kandungan audio siar (podcast) Yang Berhenti Menteri oleh Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi kelmarin.
Sementara itu, menurut Noh, beliau sendiri pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji cadangan kenaikan tarif elektrik dan berkaitan isu kapal tempur persisiran (LCS).
“Saya juga berkongsi pengalaman dalam barisan Kabinet semasa menjadi saksi Bossku (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam kes 1MDB, menjelaskan di dalam mahkamah bagaimana satu dasar di putuskan di dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.
“So camne Rafizi kata anggota cabinet tidak boleh bersuara dan menegur anggota kabinet yang lain? Adakah Kabinet sekarang diuruskan seperti regim diktaktor?” katanya. – MalaysiaGazette
















