KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar memperketat penguatkuasaan garis panduan penamaan syarikat, khususnya melibatkan istilah ‘Islam’ dan ‘Muslim’ kerana nama-nama ini tidak wajar digunakan oleh entiti yang membawa fahaman bercanggah dengan ajaran Islam atau yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
Yang Dipertua PUM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, pihaknya bimbang terhadap implikasi jangka panjang apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama yang telah diwartakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 31 Julai 2014 tidak terpakai ke atas organisasi seperti SIS Forum (Malaysia) atas alasan status perundangan sebagai syarikat.
Keputusan ini, tegas beliau, mungkin membuka ruang kepada mana-mana pihak pada masa depan untuk memanipulasi entiti syarikat, perniagaan, perbadanan atau pertubuhan bagi mengelak kawalan hukum syarak di bawah undang-undang Islam negeri.
“PUM bimbang keputusan ini berpotensi memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik bentuk organisasi untuk menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan Islam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Lantaran itu, tambah beliau, PUM menyokong hujah penghakiman minoriti oleh Datuk Abu Bakar Jais, yang berpendapat fatwa merupakan urusan hukum syarak yang sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah, dan entiti yang nyata bersifat Islam tidak boleh bersembunyi di sebalik status perundangan.
“Fatwa yang telah diwartakan melalui prosedur sah di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri adalah berkuat kuasa dan mempunyai kesan undang-undang terhadap umat Islam di negeri berkenaan.
“Fatwa bukan sekadar pandangan hukum, tetapi satu ketetapan hukum syarak yang perlu dipatuhi,” jelas beliau lagi.
Berikutan itu, PUM menjunjung kasih dan menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Selangor yang menzahirkan rasa dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan.
Titah baginda bahawa nama “Sisters in Islam” tidak wajar terus digunakan oleh SIS Forum adalah satu langkah penting dalam menjaga kesucian dan maruah Islam.
Pada masa sama, PUM menyeru semua pihak untuk menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Islam negeri-negeri.
PUM menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan rasmi MAIS yang mempertahankan kewajaran dan kuasa fatwa.
Lagipun, PUM bimbang keputusan ini berpotensi memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik bentuk organisasi untuk menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan Islam.
PUM turut menyeru umat Islam di seluruh negara untuk menghormati dan mematuhi fatwa yang telah diwartakan, menjauhi fahaman liberalisme dan pluralisme yang telah difatwakan sebagai sesat dan tidak melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti, program atau penerbitan yang dibuat oleh mana-mana individu dan kumpulan yang mendukung fahaman liberalisme dan pluralism.
Malah, umar Islam turut diajak bersama-sama memperkukuh institusi agama dan menghormati kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri. – MalaysiaGazette















