KUALA LUMPUR – Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan dan pencerobohan terhadap Republik Islam Iran, awal pagi tadi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar kedaulatan Iran, malah merupakan satu bentuk jenayah perang yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, tambah beliau, serangan tersebut menyerlahkan sikap sebenar AS dan sekutunya Israel sebagai pengganas yang tidak mempedulikan undang-undang dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pas menuntut ketegasan di pihak Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk segera menghentikan tindakan tidak bertamadun ini, serta mengecam keangkuhan Amerika Syarikat, sekutu kuat regim haram Israel, terhadap situasi terkini yang boleh mengancam prospek keamanan dunia, katanya dalam kenyataan hari ini.
Presiden AS, Donald Trump hari ini mengumumkan AS telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordo, Natanz, dan Esfahan.
Trump menambah, “muatan penuh bom” telah digugurkan ke atas Fordo, dan semua pesawat sedang dalam perjalanan pulang ke AS.
Pengumuman Trump itu dibuat hanya dua hari selepas beliau berkata akan memutuskan “dalam masa dua minggu” sama ada untuk menyertai sekutu utama Israel dalam menyerang Iran. – MalaysiaGazette
















