Mohd Shukri Ramli. -Foto: FB Mohd Shukri Ramli

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Perlis yang juga Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berharap barisan kepimpinan Pas kawasan Arau yang baharu akan terus memperkukuh saf perjuangan parti tersebut.

Beliau yang tewas dalam perebutan jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Arau semalam turut berharap barisan kepimpinan baharu itu dapat membantu memperteguh Kerajaan Perikatan Nasional Negeri (PN) Perlis, lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) semakin hampir.

Secara peribadi, beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua perwakilan dan ahli Pas yang hadir semalam kerana kehadiran dan ucapan-ucapan yang disampaikan memberi kesedaran kepadanya.

“Ia menjadi ruang muhasabah buat diri saya, dalam mengimbangi tanggungjawab saya sebagai pemimpin kerajaan dan sebagai anggota parti yang telah kita bina bersama.

“Arau pasti terus unggul dengan saf kepimpinan yang kukuh, dibantu pula oleh tokoh ulung kita, YB Dato’ Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau yang hebat dan dahsyat, tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memacu perjuangan ini ke hadapan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Arau semalam menyaksikan kejutan apabila Mohd Shukri tewas dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Arau bagi sesi 2025-2027 kepada penyandang, Solahudin Azmi.

Dalam pemilihan yang berlangsung di Kompleks Pas Perlis itu, Mohd Shukri hanya memperoleh 43 undi berbanding Solahudin yang meraih 128 undi daripada 173 perwakilan yang hadir. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast