KUALA LUMPUR – Cukai terhadap barangan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kutipan akhir, sebaliknya bergantung kepada jenis barangan.
Jelas Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, ini kerana sekiranya 80 peratus barangan import dikenakan cukai di pasaran, akhirnya pengguna juga yang akan menanggung beban tersebut.
“Saya hairan dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying. Bagaimana seseorang boleh mempertahankan kesilapan kerajaan dengan hujah yang sukar dipercayai?
“Jika penasihat DAP, Lim Guan Eng sendiri berpendapat bahawa peluasan cukai SST akan memberi kesan kepada rakyat, ini jelas menunjukkan bahawa alasan Lim Hui Ying gagal meyakinkan pemimpin kanan partinya sendiri, apatah lagi mahu meyakinkan rakyat untuk menerimanya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berhubung peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Sebelum ini, Hui Ying berkata SST mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Katanya, perkara itu ditambah dengan laluan diberikan untuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi pada tahun 2024.
Menempelak kenyataan itu, Dominic mempersoalkan sama ada Timbalan Menteri Kewangan itu pernah melihat sendiri senarai barangan yang dikenakan SST dan peluasannya yang bakal dilaksanakan 1 Julai ini.
“Boleh memberitahu sama ada beliau pernah melihat senarai barangan yang dikenakan cukai? Adakah beliau menyedari bahawa banyak buah-buahan yang biasa dinikmati rakyat juga turut dikenakan cukai? Atau beliau menyokong secara membuta tuli tanpa menyemak senarai tersebut terlebih dahulu?,” soalnya.
Dominic turut menyifatkan hujah bahawa kutipan cukai SST lebih rendah daripada GST adalah alasan semata-mata untuk menyatakan rakyat tidak perlu membayar lebih.
Malah beliau turut menekankan kenyataan tersebut sebagai tidak masuk akal dan tidak rasional.
“Sebab sebenar peluasan skop cukai ini adalah kerana kerajaan perpaduan yang telah mentadbir lebih dua tahun kini berdepan perbendaharaan negara yang semakin susut dan memerlukan dana segera untuk membayar hutang.
“Berdasarkan keadaan negara pada masa ini, tindakan kerajaan untuk menambah hasil cukai adalah boleh difahami. Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, ‘Seorang yang mulia cintakan kekayaan, namun mestilah diperoleh secara sah, bukan dengan cara “mengambil lalu mencuri daripada rakyat”.
“Mungkin Lim Hui Ying boleh jalankan satu tinjauan di kawasan pilihannya, jika epal, oren dan pisang dikenakan cukai, lihat berapa ramai yang akan bersetuju dan menyokong keputusan kerajaan ini?” katanya lagi.
Sehubungan itu beliau mengingatkan supaya Hui Ying sedar keperluan untuk prihatin terhadap rakyat.
“Jangan hanya demi jawatan dan masa depan politik, sanggup mengabaikan nurani. Ini adalah satu kesilapan dan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan oleh para pengundi.
Beliau juga berharap agar Lim Hui Ying menumpukan perhatian kepada semakan senarai cukai dan menjalankan tanggungjawab mengawasi demi kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















