Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

KUALA UMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh disarankan supaya melepaskan jawatannya kerana didakwa gagal memainkan peranan sebagai peneraju kementerian tersebut, terutama membantu menyelesaikan dakwaan isu dalaman termasuk unsur politik dalam skuad bola sepak kebangsaan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, sebagai Menteri peranan Hannah bukan hanya muncul ketika meraikan kemenangan, sebaliknya membantu menyelesaikan cabaran dan krisis yang dihadapi pasukan tertentu termasuk memberi sokongan.

“Realitinya, beberapa sukan utama negara turut berdepan isu dalaman, termasuk badminton dan olahraga. Malah, Malaysia turut menghadapi yang kekurangan atlet kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Prestasi kontinjen Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa juga menunjukkan penurunan yang ketara dan tiada lonjakan yang membanggakan.

“⁠Perlu diingat, pada bulan Mei lalu, YB Hannah Yeoh sendiri pernah menegur pihak yang gagal mengurus persatuan sukan agar meletakkan jawatan. Maka sewajarnya, beliau juga harus mengajukan persoalan yang sama kepada diri sendiri. Kepimpinan bukan sahaja diukur ketika saat gemilang, tetapi bagaimana seseorang itu bertindak ketika krisis melanda.

“⁠Sudah tiba masanya untuk YB Hannah Yeoh menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan – seperti mana yang telah dilakukan secara terhormat oleh dua rakan sejawat beliau, YB Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahuu Neow berkata, Hannah memberi gambaran seolah-olah ingin melepaskan tangan dan tidak prihatin terhadap masalah industri sukan negara apabila berkata tidak tahu mengenai dakwaan isu dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain itu beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) menegaskan, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan negara menteri itu sepatutnya memahami permasalahan dan membantu mencari penyelesaian setiap yang berkaitan.

“⁠Baru-baru ini, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, turut membayangkan kewujudan isu dalaman serta tekanan tertentu yang dihadapi pasukannya dalam usaha memperkasa bola sepak negara. Ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Bukan sekadar melepaskan tangan dengan alasan kononnya tiada kaitan, atau menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan tanpa sebarang usaha campur tangan yang konstruktif,” tambahnya.

Katanya, adalah tidak wajar untuk Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan membiarkan beban dan tanggungjawab ini ditanggung oleh para atlet dan persatuan masing-masing.

Jelasnya, dasar pembangunan sepatutnya daripada pemimpin tertinggi di peringkat kementerian itu sendiri.

“KBS perlu menjadi peneraju dalam merangka dasar, membimbing hala tuju, serta menjadi pendukung utama kepada ekosistem sukan negara.

“Malangnya, sikap berdiam diri dan enggan mengambil tahu hanya menambahkan persepsi bahawa KBS tidak memainkan peranan yang sewajarnya. ⁠Apakah ini cerminan sebenar tanggungjawab seorang Menteri Belia dan Sukan? Dan apakah fungsi KBS dalam memastikan pembangunan sukan negara sentiasa berada di landasan yang betul?,” soalnya.

Baru-baru ini, Hannah berkata, KBS tidak campur tangan dalam pengurusan skuad kebangsaan mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast