KUALA LUMPUR – Satu aduan rasmi dihantar oleh sekumpulan pelabur yang mendakwa menjadi mangsa skim pelaburan mesin layan diri kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar siasatan dijalankan ke atas tiga buah syarikat .
Langkah itu diambil susulan kerugian dialami 228 pelabur di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah RM14.3 juta.
Menurut jurucakap yang mewakili kumpulan mangsa berkenaan, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya percaya ketiga-tiga syarikat terbabit mungkin telah melanggar peruntukan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.
Katanya, siasatan perlu difokuskan kepada struktur operasi dan kewujudan sebenar mesin-mesin yang ditawarkan kepada pelabur, sama ada mesin layan diri atau mesin kopi automatik.
“Kami persoalkan sama ada mesin yang dijanjikan itu benar-benar wujud. Perlu ada dokumen sokongan seperti ‘packing list’, dokumen import, pelepasan kastam bagi membuktikan mesin-mesin itu benar-benar dibawa masuk dan beroperasi,” katanya yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO).
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan aduan rasmi 228 pelabur ke SSM di Menara SSM, KL Sentral hari ini
Katanya, syarikat pertama didakwa menyebabkan kerugian sebanyak RM5.2 juta kepada 54 pelabur, syarikat kedua RM1.8 juta kepada 19 pelabur manakala syarikat ketiga membabitkan kerugian terbesar iaitu RM7.3 juta melibatkan 155 individu.
“Semua syarikat-syarikat ini menggunakan pendekatan serupa iaitu menjanjikan pulangan pasif kepada pelabur yang hanya perlu membayar sejumlah wang untuk memiliki mesin tanpa perlu terlibat dalam operasi atau penyelenggaraan.
“Ada pelabur yang diminta bayar RM30,000 untuk satu unit mesin, manakala ada juga ditawarkan lot pelaburan serendah RM1,000, kononnya akan menerima pulangan bulanan sehingga lima peratus,” jelas beliau.
Katanya, walaupun laporan polis telah dibuat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu), pihak pendakwaan memutuskan status kes sebagai NFA (No Further Action). – MalaysiaGazette
















