KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aliran keluar bersih mereka di Bursa Malaysia, meneruskan aliran jualan minggu kelima mencatatkan aliran keluar RM565.2 juta, lebih tinggi sedikit daripada aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak RM444.4 juta.
MIDF Research berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM52.5 juta hingga RM202.2 juta.
Aliran keluar terbesar dicatatkan pada hari Jumaat, diikuti Isnin sebanyak RM130.3 juta.
Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah pengangkutan & logistik (RM95.8 juta), REIT (RM38.4 juta) dan pembinaan (RM28.9 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM387.4 juta), penjagaan kesihatan (RM110 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM52.9 juta).
Firma penyelidikan ini berkata, pelabur institusi tempatan meneruskan aktiviti belian mereka, berlanjutan kepada pembelian berturut-turut minggu kelima dengan aliran masuk bersih berjumlah RM510.6 juta.
Sementara itu, pelabur runcit kembali kepada pembeli asing bersih minggu lepas, merekodkan aliran masuk bersih RM54.7 juta, menghentikan aliran keluar dua minggu.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan secara meluas minggu lepas, kecuali pelabur asing.
Pelabur institusi dan runcit tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak -13.3% dan -10.9%, manakala pelabur asing menyaksikan lonjakan +24.0%. – MalaysiaGazette















