kursus elektif kelayakan mikro
Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR –  Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menegaskan bahawa isu berkaitan beberapa institusi pendidian tinggi (IPT) swasta negara yang didakwa tersenarai dalam kategori tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa China telah diselesaikan secara baik hasil perbincangan dua hala antara kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kekeliruan itu berpunca daripada salah faham teknikal antara IPT yang berkenaan dengan Chinese Service Center for Scholarly Exchange (CSCSE), iaitu agensi di bawah Kementerian Pendidikan China yang bertanggungjawab mengurus pengiktirafan kelayakan akademik luar negara.

Katanya, apabila MQA mendapatkan penjelasan penuh daripada pihak institusi terlibat dan mengadakan libat urus bersama CSCSE, pihak China memahami situasi sebenar dan bersetuju untuk menarik semula senarai hitam yang dibuat sebelum ini.

“Usaha memperkukuh kefahaman bersama itu telah diterjemahkan secara rasmi melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dan CSCSE pada April 2024 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersempena dengan lawatan Menteri Pendidikan China, Huai Jinpeng ke Malaysia.

“MoU tersebut memberi penekanan kepada kerjasama dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian kelayakan akademik, termasuk usaha ke arah pengiktirafan Bersama IPT di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian katika menjawab dakwaan beberapa universiti swasta Malaysia dilaporkan telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa China menimbulkan kebimbangan terhadap kemerosotan kualiti institusi, pengambilalihan oleh pelabur dari China serta kemungkinan terhakisnya kualiti dalam sektor pendidikan tinggi swasta di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MoU berkenaan menjadi langkah penting dalam menjamin keyakinan pelajar antarabangsa terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Susulan pemeteraian MoU itu, katanya, Education Malaysia Beijing turut memaklumkan berlaku peningkatan jumlah pelajar China yang menyambung pengajian ke Malaysia.

“Semua usaha bilateral ini selaras dengan komitmen Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang mengangkat agenda menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Di MQA, kami komited untuk terus memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa serta memastikan IPT tempatan, tidak mengira sama ada awam mahu pun swasta akan terus berada pada tahap piawaian yang diiktiraf dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast