KUALA LUMPUR – Malaysia masih berada di pertengahan jalan dalam penerokaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan belum tiba ke destinasi sebenar, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, meskipun AI telah membantu dalam pelbagai aspek namun ia belum sepenuhnya mampu menggantikan peranan manusia terutama dalam bidang komunikasi dan penyampaian maklumat yang bersifat etika dan bertanggungjawab.
“Perjalanan kita masih jauh. Kita belum sampai ke destinasi yang sebenar. Saya percaya masih banyak perkara yang perlu dilakukan kerana AI belum mampu meniru bahasa dan ucapan manusia secara sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka IPPTAR 2025 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, di sini, hari ini.

SEmentara itu, Fahmi mengingatkan penggunaan AI dalam konteks geopolitik, termasuk bagaimana ia digunakan dalam menyebarkan maklumat palsu dalam konflik di Timur Tengah.
“Lihat apa yang berlaku di Gaza, antara Israel, Iran dan negara-negara Arab lain. Teknologi digunakan untuk menyebar maklumat palsu, dan kadangkala ia kelihatan sahih. Sebab itu kita perlu berhati-hati, perhatikan nilai kandungan yang disebarkan kepada rakyat,” jelasnya.
Beliau menyeru supaya agensi-agensi komunikasi dan media terus meningkatkan pemahaman mereka terhadap kerangka etika penggunaan AI termasuk dalam pemasaran dan komunikasi strategik.
“Kita perlu bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan serta pemimpin industri untuk memahami sepenuhnya kerangka AI dalam komunikasi. Ini penting agar teknologi ini digunakan secara bertanggungjawab dan beretika,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kebebasan media tetap menjadi keutamaan kerajaan namun ia perlu seiring dengan tanggungjawab dan etika profesional.
“Media mesti bebas, tetapi juga bertanggungjawab. Hati-hati dalam menghasilkan grafik atau kandungan. Jangan sekadar ‘copy-paste’.
“Kita perlu belajar daripada apa yang telah berlaku kepada salah satu media baru-baru ini,” katanya.
Fahmi merujuk penyiaran kesilapan infografik oleh sebuah portal media berkaitan penglihatan politik Ketua Polis Negara (KPN) baharu.
berikutan itu, Fahmi mencadangkan satu perbincangan melibatkan Majlis Media Malaysia dan pihak berkepentinganbagi merangka pendekatan bersama dalam isu AI dan etika kewartawanan. – MalaysiaGazette
















