Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Zainal menyantuni salah seorang pelatih PLKN 3.0 dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Sungai Miang, di Pekan hari ini.

PEKAN – Ibu bapa perlu memainkan peranan menggalakkan penyertaan anak-anak mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), bukan menegah penyertaan mereka.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Zainal berkata, itu merupakan tanggungjawab ibu bapa demi kemaslahatan generasi muda akan datang.

Menurutnya, MLKN masih memberi kelonggaran terhadap individu tersenarai menyertai program selama 45 hari itu yang enggan melapor diri pada tahun ini.

Namun, katanya tindakan tegas mungkin akan dikuatkuasakan selepas ini setelah mempertimbang alasan dan sebab kukuh ketidakhadiran mereka.

“Sekarang memang penyertaan adalah mandatori, tapi kita longgarkan dahulu. Masih lagi secara pasif. Tapi ia tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kita sebagai rakyat Malaysia ada peranan masing-masing.

“Dan kita di sini memberi jaminan bahawa anak-anak mereka akan menjadi insan cemerlang dengan melalui modul-modul dalam program ini.

“Saya sendiri boleh beri jaminan bahawa pelatih-pelatih ini akan menjadi lebih baik selepas tamat program,” katanya.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Zainal

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Sungai Miang, di sini, hari ini.

Pada siri kali ini, seramai 257 pelatih lelaki menyempurnakan tempoh 45 hari latihan.

Abdul Aziz berkata, sebelum tamat latihan, para pelatih juga didedahkan kepada peluang kerjaya yang boleh diteroka mengikut minat masing-masing.

“PLKN juga akan menjadi konsultan di mana akan ditubuhkan MyCare iaitu kumpulan alumni PLKN yang akan membantu pelatih-pelatih selepas mereka tamat tempoh latihan.

“Jadi, sepanjang hidup mereka nanti, PLKN ni akan memainkan peranan ke arah memberi semangat yang positif kepada mereka,” katanya.

Di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara membolehkan mereka yang tidak menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast