KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan media tidak boleh lepas tangan dalam proses semak fakta sebelum ia disiarkan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, proses tersebut perlu diperkukuh bagi mengelakkan kesilapan berita yang akhirnya berisiko untuk menghakis keyakinan rakyat khususnya kepada penjawat awam.
Beliau berkata demikian mengulas isu kesilapan infografik melibatkan Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang tular, baru-baru ini.
“Kerajaan Madani sentiasa menghormati kebebasan media sebagai antara tiang seri emokrasi. Namun kebebasan tanpa disiplin hanya menjauhkan kita dari kebenaran.
“Merujuk kepada grafik sebuah portal terkemuka yang tular baru-baru ini seolah-olah mengaitkan Ketua Polis Negara dengan aktiviti kepartian politik adalah contoh jelas bagaimana kekhilafan editorial itu boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam,” katanya semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, pada Selasa.
Ujarnya, tuduhan melulu terhadap penjawat awam adalah tindakan tidak beretika dan menjejaskan moral serta keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang.
Dilaporkan, Sinar Harian menggantung sementara tugas kakitangan dan penyelia Unit Media Sosial yang meluluskan infografik salah melibatkan Mohd Khalid yang baru dilantik sebagai KPN.
Akhbar itu memaklumkan, pihaknya turut membuat laporan polis bagi memaklumkan insiden tersebut dan memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya perlu.
Sementara itu, Nashrul menyentuh isu pemeriksaan kesihatan tahunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang katanya mengundang beberapa persoalan.
Jelasnya, tarikh pemeriksaan kesihatan adalah hak Perdana Menteri yang ditentukan berdasarkan kelapangannya.
Dalam masa yang sama menurutnya, Pejabat Perdana Menteri tidak mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengelakkan kenyataan ringkas tanpa keterangan pakar yang akan mengundang kekeliruan rakyat dan negara.
“Namun beberapa pihak bertanya mengapa pemeriksaan diadakan lebih awal dan mengapa Pejabat Perdana Menteri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi…
“Bagi aspek komunikasi, Pejabat Perdana Menteri, seperti tahun lalu, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak hospital untuk mengumumkan hasil pemeriksaan.
“Pendekatan ini menjamin ketelusan klinikal, mengelakkan spekulasi tidak berasas, dan menepis amalan lama mengeluarkan kenyataan ringkas tanpa keterangan pakar yang akhirnya mengundang kekeliruan rakyat dan negara.
“Ringkasnya, kesihatan pucuk pimpinan negara adalah amanah besar; ketelusan terbaik datang terus daripada pakar perubatan,” katanya.
Dalam taklimat yang sama, isu mengenai karikatur wajah menyerupai Anwar turut disentuh.
Mengulas lanjut Nashrul berkata, Perdana Menteri yang pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan memahami suara ketidakpuasan hati mahasiswa.
Tambahnya, Anwar juga memahami kritikan merupakan sebahagian penting dalam proses meraikan demokrasi.
“Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
“Beliau menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus,” katanya lagi.
Ujarnya, kerajaan komitmen reformasi tidak akan terhenti sebaliknya akan diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur.
Terbaru dilaporkan, Perdana Menteri berpesan supaya mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini tidak dibuang universiti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, pada perdana menteri para pelajar terlibat mungkin membuat kesilapan.-MalaysiaGazette
















