KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan sebidang tanah di ibu negara berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada UMNO dalam tempoh 30 hari.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Roz Mawar Rozain selepas UMNO dan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan mencapai persetujuan penyelesaian berhubung status pemilikan hartanah yang sebelum ini didaftarkan atas nama empat tokoh politik sebagai pemegang amanah.
“Mahkamah bersetuju bahawa hartanah tersebut dikenali sebagai ‘Geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur’ adalah dipegang sebagai amanah untuk manfaat UMNO dan hendaklah kini didaftarkan atas nama parti dengan semua hak dan kepentingan,” kata Roz Mawar dalam penghakiman beliau.
Dalam penghakiman persetujuannya, mahkamah turut memerintahkan agar Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil segala langkah yang perlu untuk melaksanakan perletakan hak tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Tanah Negara 1965.
Ketika ditemui media, peguam UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengesahkan bahawa hartanah berkenaan merujuk kepada lokasi Hotel Seri Pacific iaitu hotel ikonik yang terletak bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Dengan perintah ini, segala isu berkaitan pemindahan milik Hotel Seri Pacific telah selesai secara muktamad.
“Keputusan hari ini juga telah menamatkan polemik yang timbul sebelum ini berhubung keengganan pihak pemegang amanah menandatangani proses pemindahan harta.
“Segala keengganan untuk menandatangani atau melaksanakan pemindahan kini dianggap selesai dan akademik. Mahkamah telah mengesahkan kedudukan undang-undang bahawa tanah ini hak milik UMNO,” katanya.

Legal Advisor of UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun
Pada 6 Mac lalu, UMNO menerusi Setiausaha Kerjanya, Datuk Mohd Sumali Reduan memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar PTG Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan perintah agar hak milik tanah itu dipindahkan kepada parti, sebagaimana termaktub dalam Fasal 27.1 Perlembagaan UMNO dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Hartanah tersebut sebelum ini didaftarkan atas nama empat pemimpin UMNO iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid yang bertindak sebagai pemegang amanah.
Menurut afidavit sokongan Mohd Sumali, permohonan pindah milik telah dikemukakan sejak 2015 dengan kelulusan rasmi diperoleh daripada Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 28 Disember tahun tersebut.
Namun, permohonan Borang 14A pada 2016 ditolak kerana ketidakpadanan nama dalam dokumen pengenalan.
Dua daripada empat pemegang amanah terbabit, Sanusi dan Daim telah meninggal dunia, masing-masing pada 2018 dan 2024, perkembangan ini turut menyulitkan proses perundangan sebelum penyelesaian akhirnya dimeterai hari ini. -MalaysiaGazette
















