Anugerah Pelajar Terbaik Orang Asli, Roziana A/P Tan Beng Hai bersama ibu bapanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Majlis Peperiksaan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JUN 2025

SELAYANG – Ketiadaan kemudahan elektrik dan internet di kampung tidak mematahkan semangat Roziana A/P Tan Beng Hai untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2024.

Roziana, pelajar terbaik orang asli yang memperoleh 4A berkata, dia perlu berjalan sejauh dua hingga tiga kilometer (km) setiap kali mahu menghantar tugasan pada cuti sekolah.

“Kampung saya jauh dari sekolah, perjalanan biasa memakan masa sejam. Jadi (sebab itu) saya tinggal di asrama, kampung saya juga tiada jaringan internet.

“Selain itu kampung saya juga tidak ada elektrik, jadi perlu cas guna generator,” katanya  yang berasal dari Kampung Mentelong, Rompin Pahang itu.

Beliau percaya, kejayaan tidak datang bergolek, justeru disiplin dan konsisten merupakan kunci kejayaannya dalam peperiksaan tersebut.

“Saya meletakkan matlamat dan mengatur masa saya dengan sebaik mungkin. Tentu ada cabaran, kita faham STPM peperiksaan yang sukar.

”Kadang-kadang saya tidak faham (mata pelajaran tertentu, saya tidak hanya tanya kawan tapi juga (rujuk kepada) cikgu saya,” tambahnya yang ditemui di Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW 2024 yang berlangsung di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), hari ini.

Mengulas lanjut, Roziana menyimpan azam untuk mengharumkan nama arang asli dengan menjadi antara yang berjaya ke menara gading kelak.

Dia juga berhasrat untuk mengangkat taraf hidup dan mengubah ekonomi keluarganya satu hari nanti.

“Saya minat (bidang) ekonomi, jadi saya mahu teruskan dalam bidang itu di universiti pilihan saya iaitu UKM  (Universiti Kebangsaan Malaysia), sebab ia antara universiti terbaik di negara ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast