Tin Cong menunjukkan kesan kebakaran di gudang menyimpan barang-barang keperluan harian milik syarikatnya di Jalan Ungku Mohd Salleh di Kluang, hari ini.

KLUANG – Kegagalan beberapa pili bomba di Jalan Ungku Omar di bandar ini berfungsi menyebabkannya sebuah syarikat rugi jutaan ringgit selepas gudangnya terbakar pada April lalu.

Pengarah Li Ta Distribution Sdn Bhd, Lee Yin Cong berkata, kebakaran itu berlaku pukul 12 tengah hari pada 4 April lalu dan pada awalnya proses pemadaman berjalan  baik.

“Bomba tiba ke lokasi 10 minit sebaik selepas dihubungi. Namun apabila cuba menggunakan pili bomba berhampiran gudang yang terbakar, ia gagal mengeluarkan air pada kadar kapasiti diperlukan.

“Keadaan tersebut telah menghadkan proses memadamkan kebakaran sehingga menyebabkan api gagal dikawal dan merebak ke banyak tempat dalam stor lalu mengakibatkan kerugian jutaan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Gudang Li Ta Distribution, Jalan Ungku Mohd Salleh di sini hari ini.

Dakwanya lagi, lebih mengejutkan apabila pihak Ranhill SAJ mengatakan pihaknya tidak boleh membekalkan air dengan kapasiti yang banyak kerana bimbang paipnya akan pecah akibat tekanan tinggi.

“Keadaan ini menimbulkan tanda tanya apakah tiada sebarang proses penggantian paip baharu dilakukan walaupun menyedari ia sudah tidak lagi boleh menampung tekanan sekiranya air dilepaskan dengan kadar yang banyak,” soalnya.

Dakwa Yin Cong, kebakaran yang berlaku di stor bukan berpunca dari premis syarikatnya namun daripada api yang tercetus pada wayar elektrik pada di tiang lampu berhampiran stor sebelum merebak menjadi satu kebakaran.

Ujarnya, tujuan mengadakan sidang media untuk menyatakan rasa tidak puas hati sebaliknya memberitahu fakta sebenar kepada umum dan pihak berkaitan.

“Ia bukan hanya mengenai kerugian dialami namun lebih kepada menyerlahkan kebimbangan keselamatan awam yang lebih luas mempengaruhi keseluruhan komuniti.

“Kami ingin menyatakan siasatan sedang dijalankan untuk mendapatkan kesimpulan tepat mengenai punca sebenar kebakaran, selain menilai kemungkinan untuk memfailkan tuntutan sivil terhadap mana-mana pihak yang mungkin bertanggungjawab atas kerugian dialami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Shukor berkata, pili bomba di jalan itu dalam keadaan baik dan boleh digunakan ketika kebakaran tersebut berlaku.

Namun katanya, pasukan dari Balai Bomba Kluang, Ayer Hitam, Renggam serta Pasukan Bomba Sukarela Kahang menghadapi masalah tekanan air yang rendah di pili bomba berkenaan.

“Keadaan ini menyebabkan kadar tekanan air bagi pemadaman agak rendah dan atas faktor itu pasukan bomba menggunakan pam daripada jentera bagi membantu peningkatan kadar tekanan air.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) juga telah menghubungi Ranhil SAJ berkaitan tekanan air rendah itu namun dimaklumkan tekanan air tidak dapat ditingkatkan kerana saluran paip lama dan boleh menyebabkan saluran tersebut pecah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast