KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap seorang peneroka Felda berusia 63 tahun dan mensabitkan dua lagi individu berhubung kesalahan memperdaya seorang ahli perniagaan sehingga kerugian RM66,300.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Radzi Harun dalam keputusannya menolak rayuan Rosli Awang Ngah selaku perayu dan membenarkan rayuan pihak pendakwaan mensabitkan dua responden iaitu Shahrul Azizul Muda, 45 dan Muhammad Azman Zainal Hamzah, 37 bagi kesalahan sama.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Mei 2020 kerana dengat niat secara bersama memperdaya Yap Chim Beng berhubung pajakan tanah kelapa sawit di Sungai Cherabang, Telang di Lipis sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang deposit berjumlah RM66,300.
Mengikut fakta kes, mereka mendakwa wang tersebut diperlukan bagi memudahkan urusan dengan pihak berkuasa dan kerajaan, di mana mangsa telah memindahkan wang ke dalam akaun milik ketiga-tiga mereka menerusi 16 transaksi pada tarikh 15 Februari 2019 hingga 19 Jun 2019.
Bagi pertuduhan kes itu, Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman bersalah kepada Rosli, namun melepas dan membebaskan Shahrul Azizul dan Muhammad Asman daripada pertuduhan.
“Mahkamah ini berpuas hati bahawa dapatan Hakim Mahkamah Sesyen diakhir kes pembelaan yang membawa kepada sabitan perayu bagi pertuduhan adalah sama dan tidak dipertikaikan. Oleh itu, rayuan perayu terhadap sabitan adalah ditolak.
“Mahkamah ini juga berpuas hati bahawa kedua-responden iaitu Muhammad Azman dan Shahrul Azizul telah gagal menimbulkan keraguan munasabah dan sebaliknya pihak pendakwaan sebenarnya telah berjaya membuktikan tanpa apa-apa keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh mereka.
“Mahkamah ini dapati Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dalam membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Shahrul Azizul dan Muhammad Azman daripada pertuduhan ini.
“Oleh itu, Mahkamah ini membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Shahrul Azizul Muda dan Muhammad Azman Zainal Hamzah dari pertuduhan dan menggantikan dengan sabitan terhadap pertuduhan bagi kedua-duanya.
“Untuk Rosli Awang Ngah, saya kekalkan hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen iaitu 12 bulan penjara, denda RM5,000. Jika tidak bayar, enam bulan penjara. Tiada hukuman sebatan walaupun ia mandatori, kerana usia melebihi 50 tahun,” kata Mohd Radzi dalam keputusannya.
Manakala beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan berserta satu sebatan ke atas Shahrul Azizul Muda dan Muhammad Azman Zainal Hamzah yang berkuatkuasa bermula hari ini.
Ketiga-tiga mereka diwakili Peguam Ahmad Syamsul Akmari Yusof, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry. – MalaysiaGazette
















