PUTRAJAYA – Ibu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara tulus memaafkan pihak-pihak yang menganiaya anaknya dan keluarga sambil mendoakan mereka diberi hidayah atas perbuatan itu.
Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz berkata, tempoh lima tahun yang dilaluinya bukan satu masa yang sekejap, sebaliknya penuh dengan cabaran dan dugaan.
“Hidup ini sementara, bukan selama-lamanya. Jangan aniaya orang lain. Kelak balasannya bukan di akhirat, di dunia lagi. Namun saya maafkan mereka atas penganiayaan yang dilakukan ke atas anak saya dan keluarga.
“Sebagai seorang ibu, lima tahun itu bukan sekejap, ia penuh cabaran dan dugaan namun Alhamdulillah, Saddiq sentiasa melakukan sesuatu kerana Allah SWT dan rakyat,” katanya kepada wakil media di lobi Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Sharifah Mahani mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada sabitan dan hukuman kerana penyelewengan dana Armada.

Wanita itu selanjutnya menyatakan, sebagai seorang ibu, hatinya sering berdebar dan ada kalanya terdetik untuk meminta anaknya berhenti daripada dunia politik yang disifatkan begitu sukar.
“Kadangkala ingin berkata kepada anak, ‘Sudahlah, janganlah buat lagi. Jangan masuk politik kerana keadaan susah sangat. Ramai tak bekerjasama.’
“Tapi syukur Alhamdulillah, Saddiq dikelilingi oleh orang-orang yang menyayanginya. Semangatnya kuat untuk rakyat, semangatnya kuat untuk Malaysia, tak kira apa bangsa dan agama,” katanya.
Sementara itu, bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff, turut melahirkan rasa syukurnya terhadap keputusan mahkamah.
“Sebagai orang tua, kita serahkan, kita bertawakal dan betul-betul berdoa.
“Alhamdulillah, hari ini hakim-hakim membuat keputusan yang sungguh tepat. Saya sebagai orang tua bersyukur, Alhamdulillah dan anak saya akan terus berjuang,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023. – MalaysiaGazette
















