PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa memantau video yang ditularkan di media-media sosial, selain aduan lengkap daripada orang ramai.
Apatah lagi, jika video tular atau aduan yang diterima itu lengkap dengan nombor pendaftaran, lokasi dan tarikh kejadian, kata menterinya, Anthony Loke Siew Fook
Lantaran itu, syarikat pengendali bas dan pemandu bas yang menyalahi undang-undang di jalan raya tidak akan terlepas daripada tindakan penguatkuasaan.
“Jangan ingat video yang diviralkan tidak berkesan, ada orang kata kita dah buat aduan kepada JPJ tidak diambil tindakan.
“Saya tengok video itu sahaja terus saya WhatsApp kepada KP JPJ dan Ketua Pengarah (KP) APAD untuk ambil tindakan,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, antara rakaman yang diberikan kepada pihak-pihak berkuasa kementerian termasuk video pemandu bas ekspres memandu secara melulu dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna lebuh raya lain, baru-baru ini.
Dalam video berdurasi 30 saat yang dikongsikan beberapa pengguna Facebook, pada 13 Jun lalu bas berkenaan dilihat menggunakan lorong kecemasan untuk memotong beberapa kenderaan dan tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan nyawa ramai pihak.
Susulan kejadian berkenaan, APAD bertindak proaktif dengan menggantung Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam bas Star Mart Ekspress Sdn Bhd selama 30 hari bermula 3 Julai ini.
Sehubungan itu Anthony berkata, masyarakat memainkan peranan penting dalam menyalurkan informasi berkaitan kesalahan pemandu kenderaan berat dan bas ekspres di jalan raya.
“Orang ramai hanya perlu rakam guna telefon bimbit ketika (dalam masa yang sama utamakan keselamatan), ambil gambar terperinci nombor kenderaan,” katanya. – MalaysiaGazette















