Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan bersama penjawat awam selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke 19 (MAPPA XIX) 2024 di PICC, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 16 OGOS 2024.

TEGURAN Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada penjawat awam agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka berhubung
dasar kerajaan tanpa kebenaran bukan sekadar peringatan birokratik, tetapi isyarat yang lebih besar bahawa kita sedang berdepan dengan krisis kefahaman terhadap adab, tanggungjawab dan batas peranan dalam struktur negara moden.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, beliau menggariskan dengan jelas larangan tersebut bukan perkara baharu, malah telah lama termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan sering diulang peringatan oleh mana-mana kerajaan yang memerintah. Penjawat awam, kata beliau, bukanlah pengulas atau pengkritik dasar awam secara terbuka. Sebaliknya, mereka dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan semasa dengan penuh integriti, profesionalisme dan neutraliti.

Isu disiplin atau krisis nilai?
Sekilas pandang, isu ini mungkin kelihatan sebagai soal tatakelakuan dan kepatuhan kepada garis panduan jabatan. Namun jika diamati lebih dalam, ia sebenarnya
menyentuh persoalan nilai dan akhlak kerja. Apakah kita masih memahami peranan sebenar penjawat awam dalam sistem kenegaraan? Apakah kita benar-benar faham
bahawa dalam sistem demokrasi berparlimen, penjawat awam perlu kekal neutral dan melaksanakan amanah tanpa campur tangan pandangan peribadi?

Lebih penting, adakah kita sedang menyaksikan satu bentuk ‘kehilangan adab’ dalam perkhidmatan awam, seperti yang digambarkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas dalam kerangka pemikiran Islamnya? Menurut al-Attas, adab ialah pengenalan dan pengiktirafan terhadap tempat, peranan dan tanggungjawab seseorang dalam sesuatu sistem. Ia merangkumi bukan sahaja kesantunan tingkah laku, tetapi juga kefahaman intelektual dan spiritual terhadap batas dan susunan dalam kehidupan. Dalam konteks penjawat awam, adab bermakna memahami bahawa tugas mereka bukan untuk mempertikaikan dasar secara terbuka, tetapi untuk melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan hormat terhadap sistem yang wujud.

Prinsip global
Mereka yang menganggap larangan ini sebagai satu bentuk penyekatan kebebasan bersuara harus melihat amalan di negara-negara maju. Di United Kingdom, Civil
Service Code mewajibkan penjawat awam menjaga prinsip ‘impartiality’, ‘loyalty’ dan ‘integrity’. Mereka dilarang daripada mengkritik kerajaan secara terbuka. Di Australia pula, Australian Public Service Code of Conduct secara terang melarang penggunaan media sosial untuk tujuan yang boleh mencemarkan imej jabatan atau dasar kerajaan, walaupun di akaun peribadi.

Kesemua ini memperlihatkan bahawa prinsip neutraliti perkhidmatan awam adalah norma antarabangsa, bukan keanehan tempatan. Ia bukan soal menyekat suara, tetapi memastikan kestabilan sistem pentadbiran yang berfungsi melampaui politik kepartian.

Era digital dan cabaran akhlak siber
Dalam dunia pasca moden yang didorong oleh media sosial, batas antara pandangan peribadi dan imej institusi semakin kabur. Pegawai kerajaan yang memuat naik
hantaran bersifat menyindir, mengkritik atau mempertikaikan dasar semasa mungkin menganggap ia dilakukan atas kapasiti peribadi. Namun masyarakat tidak melihat
begitu – setiap perkataan itu dilihat sebagai suara institusi.

Kes demi kes telah direkodkan. Ada pegawai dikenakan tindakan kerana kenyataan berunsur penghinaan terhadap agensi penguat kuasa. Ada kakitangan kementerian
dikenakan tindakan kerana berkongsi maklumat dalaman berhubung dasar vaksinasi semasa wabak Covid-19 yang lalu. Ini bukan soal emosi, perbezaan pendapat atau
siapa yang memerintah semata-mata, tetapi ia adalah soal integriti dan adab terhadap amanah yang dipegang.

Menyubur kembali jiwa perkhidmatan
Apa yang sedang berlaku seharusnya mengundang satu renungan serius dan bukan sekadar mengetatkan penguatkuasaan, tetapi membina semula kesedaran adab
dalam kalangan penjawat awam. Dalam pemikiran al-Attas, penyelesaian kepada “kehilangan adab” bukan semata-mata dengan hukuman, tetapi melalui pendidikan
yang membina akal budi, kefahaman dan keinsafan terhadap tanggungjawab.

Kita perlukan lebih banyak usaha membudayakan kefahaman tentang peranan penjawat awam sebagai tunjang sistem, bukan sekadar pekerja biasa. Mereka adalah wajah negara. Maka, setiap tindakan, sama ada di pejabat atau di media sosial, membawa kesan terhadap kredibiliti sistem secara keseluruhan.
Tegasnya, penjawat awam bukanlah orang biasa. Mereka memikul beban amanah yang besar terhadap rakyat dan negara. Dalam setiap kata dan tindakan, mereka
mesti menunjukkan bahawa mereka menghormati struktur, setia kepada sistem, dan memahami batas diri dalam skala yang lebih besar.

Larangan KSN itu, jika dilihat dalam kerangka pemikiran yang lebih luas, bukan hanya sekadar polisi pentadbiran. Ia adalah seruan untuk kembali kepada tatasusila, akhlak, dan adab dalam pengurusan negara agar kita tidak sekadar menjadi sistem yang berfungsi, tetapi sistem yang bermaruah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast