Gambar hiasan.

KERAJAAN menyasarkan peningkatan ketara dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui (TBB) dengan menetapkan sasaran sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang tahun 2035.

Langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas yang selama ini menjadi penyumbang utama kepada pelepasan karbon.

Seiring dengan matlamat tersebut, kerajaan turut menyasarkan pengurangan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030, selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris 2016.

Perjanjian yang dimeterai oleh 169 negara termasuk Malaysia itu menetapkan sasaran penting untuk mengekang pemanasan global di bawah dua darjah selsius dan sebaiknya pada paras 1.5 darjah selsius berbanding era praperindustrian.

Perjanjian Paris mencipta sejarah sebagai perjanjian antarabangsa pertama yang mengikat semua negara bagi menangani isu perubahan iklim secara bersama.

Ia menekankan kepentingan tindakan bersama dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta memperkenalkan strategi adaptasi yang menyeluruh.

Menurut pakar iklim, aktiviti manusia terutamanya pembakaran bahan api fosil telah menjadi pemacu utama kepada peningkatan suhu bumi.

Proses itu melepaskan gas rumah kaca ke atmosfera yang seterusnya memerangkap haba.

Tanpa tindakan drastik, suhu bumi dijangka meningkat sehingga 2.7 darjah selsius menjelang akhir abad ini.

Dalam usaha transisi tenaga negara, kerajaan telah menetapkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang yang jelas iaitu 31 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam pembekalan elektrik menjelang 2025 meningkat kepada 40 peratus pada 2035 seterusnya mencapai 70 peratus menjelang tahun 2050.

Dengan pendekatan bersepadu dan sokongan semua pihak, Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk menjadi negara berdaya tahan iklim serta mencapai matlamat pembangunan mampan menjelang masa hadapan.

Tenaga boleh diperbaharui adalah sumber tenaga dapat diperbaharui secara semula jadi iaitu sebarang bentuk tenaga primer berasal daripada sumber tidak akan kehabisan.

Tenaga boleh diperbaharui adalah alternatif lebih bersih dan lebih mesra alam bertentangan dengan tenaga tidak boleh diperbaharui seperti arang batu, petroleum dan gas asli diperoleh daripada bahan api fosil tidak boleh dijana semula.

Setakat akhir 2022, Malaysia telah mencatatkan 25 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam sistem penjanaan nasional sekaligus berada di landasan yang kukuh ke arah pencapaian sasaran jangka sederhana dan panjang negara.

Selaras dengan Komitmen Perjanjian Iklim Paris

Peningkatan kapasiti TBB ini dijangka membantu Malaysia mengurangkan kepekatan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan 60 peratus menjelang 2035 berbanding paras tahun asas 2005.

Langkah ini juga sejajar dengan komitmen Malaysia di bawah Sumbangan Ditentukan Negara (NDCs) menerusi Perjanjian Iklim Paris sebagai usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar dan pembangunan rendah karbon.

Solar Jadi Tonggak Utama

Sebagai sebuah negara tropika, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi taburan cahaya matahari sepanjang tahun.

Ini menjadikan tenaga solar sebagai sumber TBB paling sesuai dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan secara besar-besaran.

Penurunan kos pengeluaran panel fotovoltaik (PV) dan kemudahan akses kepada pembiayaan hijau turut mengukuhkan kedudukan tenaga solar dalam landskap tenaga negara.

Tenaga solar kini digunakan bukan hanya untuk aplikasi kecil seperti lampu jalan dan kemudahan rekreasi, tetapi turut dikembangkan kepada projek ladang solar berskala besar seperti yang digalakkan melalui program Large Scale Solar (LSS) oleh kerajaan.

Potensi Sumber Lain: Angin, Hidro dan Biojisim

Selain solar, sumber TBB lain seperti tenaga angin, hidroelektrik dan biojisim juga mula diberi perhatian.

Projek turbin angin pertama Malaysia telah dimulakan di Bukit Cerakah, Selangor pada 2014 manakala tenaga hidro yang diperoleh daripada pergerakan air seperti sungai dan air terjun terus berperanan penting dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam pada itu, sumber biojisim dan biogas yang diperoleh daripada sisa pertanian, kumbahan serta tumbuhan terapung turut menjadi antara alternatif mesra alam.

Sebagai contoh, kilang biogas terbesar Malaysia terletak di Sungai Udang, Melaka membuktikan potensi besar sektor berkenaan.

Cabaran Peralihan dan Keperluan Dasar Seimbang

Bagaimanapun Malaysia berdepan beberapa kekangan dalam peralihan ke arah tenaga hijau khususnya disebabkan tarif elektrik domestik antara paling rendah di ASEAN yang menjadikan penjanaan tenaga boleh diperbaharui kurang menarik bagi sesetengah pelabur.

Kerajaan digesa agar pelaksanaan dasar TBB dibuat secara sistematik dan berfasa supaya peralihan tidak terlalu drastik dan membebankan pengguna serta industri.

Selain kebolehcapaian, aspek kebolehpercayaan dan keselamatan sistem tenaga juga perlu dipastikan agar tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja lestari tetapi mampu memenuhi keperluan ekonomi negara yang semakin berkembang.

Malaysia sedang berada pada laluan yang tepat dalam membentuk masa depan tenaga lebih hijau.

Dengan pendekatan pelaksanaan berasaskan data, pelaburan teknologi dan dasar mesra alam, Malaysia diyakini mampu mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ia selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau pernah menyatakan hasrat mahu menjadikan Malaysia sebagai pemimpin rantau ini dalam transformasi tenaga bersih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast