Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA mahu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan mengapa lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh A- dalam peperiksaan itu tidak lagi terjamin mendapat tempat secara terbuka di kolej matrikulasi.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan perkara itu kerana berpegang kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

Pada Jun 2024, Anwar mengumumkan semua lepasan SPM dengan 10A ke atas akan ditawarkan peluang ke matrikulasi.

Kata perdana menteri, keputusan kerajaan itu dibuat untuk menjamin pelajar yang mendapat 10A ke atas tanpa mengira kaum mendapat tempat di matrikulasi, sebagai pendekatan adil.

Sehubungan itu, Anwar menyeru semua pihak untuk melihat pelajar-pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang ini sebagai anak-anak Malaysia yang perlu dilayan dengan adil dan saksama.

“Kamu beritahu A- tidak lagi diambil kira dalam matrikulasi terbuka. Dulu A+, A, A- itu diumumkan oleh perdana menteri.

“Saya nak tanya kepada kepada menteri bilakah dasar yang diumumkan oleh perdana menteri tahun lalu diubah. Adakah ia melalui keputusan Kabinet atau sesuka hati sahaja diubah?,” soal Ka Siong.

Tanya beliau lagi, adakah pada ketika ini lepasan SPM yang memperoleh 10A- atau ada A- dalam keputusan mereka, tidak lagi mendapat tawaran secara automatik.

“Kenapa perubahan dibuat pada saat akhir, kenapa alih ‘tiang gol’ begitu sahaja? Tidak kasihankah kepada pelajar-pelajar ini? Itu persoalannya,” katanya.

Ka Siong meminta Kementerian Pendidikan tidak menghukum pihak yang mempersoalkan isu ini tetapi selesaikannya kerana itu lebih penting dan praktikal.

Ia kerana, pada pendapat beliau, apa-apa pengumuman oleh perdana menteri  menjadi dasar kerajaan.

Andainya, pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri ditolak, sepatut mesti melalui persetujuan Kabinet.

“Ataupun secara senyap-senyap sudah dapat restu daripada Kabinet, tolong beritahu apa yang berlaku supaya berlaku adil kepada pelajar-pelajar yang telah diisytiharkan 10A.

“Janji ditepati, jangan cakap tak serupa bikin, kita kena steady,” tambahnya.

Semalam, Fadhlina dalam kenyataannya berkata, pelajar yang memperoleh gred A- dalam SPM masih boleh memohon ke kolej matrikulasi
.
Beliau menjelaskan hanya pelajar yang mendapat 10A tanpa sebarang gred A- akan diberikan kemasukan automatik ke kolej matrikulasi.

“Tidak pernah ada sebarang pekeliling yang menyatakan bahawa A- bukan pencapaian cemerlang atau tidak dikira sebagai A. Kami tidak pernah kata pelajar yang dapat A- tidak boleh masuk matrikulasi.

“Mereka masih boleh memohon, dan permohonan itu akan melalui proses berdasarkan merit,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast