Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang mengenai perkembangan terkini operasi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 JUN 2025.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung kes dakwaan rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita dalam siasatan kes terbabit.

Sehubungan itu, jelas beliau, terpulang kepada Ahli Parlimen Bera berkenaan untuk mencabar permohonan SPRM tersebut di mahkamah.

“Bagaimanapun setakat ini, SPRM belum memutuskan sebarang pertuduhan jenayah bersabit kes itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan terhadap bekas menantu Ismail Sabri, Jovian Mandagie juga telah selesai dijalankan.

Jelasnya, siasatan ke atas Jovian adalah berkaitan dengan salah satu aset yang menjadi perkara utama dalam kes tersebut yang mana penglibatan Jovian dalam kes tersebut adalah sebagai saksi.

“SPRM kini di peringkat menyempurnakan kertas siasatan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

“Seterusnya, kes ini dikemukakan kepada TPR untuk cadangan keputusan,” ujarnya.

Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berikutan pihaknya menemukan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’.

SPRM juga menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes tersebut.

Difahamkan, kesemua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri kesembilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast