Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 66 individu membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mendakwa kerugian lebih RM3 juta akibat menyertai program pelaburan saham pra-pasaran (Pre-IPO) hartanah yang disyaki tidak sah, tidak berdaftar dan tidak wujud.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa diperdaya seorang individu mewakili sebuah syarikat yang promosi pelaburan melalui media sosial sejak beberapa tahun lalu.

“Program pelaburan yang ditawarkan ini disyaki tidak berdaftar di bawah mana-mana agensi pengawalseliaan kewangan, malah tiada prospektus rasmi dikeluarkan seperti yang dikehendaki mengikut peruntukan undang-undang.

“Malah, setelah menyertai program tersebut, pelabur langsung tidak menerima sebarang pulangan atau faedah yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan.

Hishamuddin berkata, hasil semakan yang dilakukan mangsa mendapati nama mereka tidak didaftarkan sebagai pemegang saham dalam syarikat berkenaan.

“Kebanyakan mangsa tertarik menyertai skim ini kerana terpedaya dengan janji-janji manis kononnya akan memperoleh pulangan tinggi.

“Namun selepas beberapa lama, mereka mula menyedari tiada sebarang keuntungan diperoleh dan syarikat berkenaan mula menghilang serta gagal memberi sebarang penjelasan munasabah,” jelasnya.

Berikutan itu, katanya, mangsa hadir ke BNM untuk memfailkan aduan agar siasatan dilakukan di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana mengambil deposit secara haram daripada orang awam tanpa kebenaran dan pendaftaran yang sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast