PUTRAJAYA – Seorang bekas tentera kekal menjalani hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana membunuh anak perempuan berusia sembilan tahun pada tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 43.
Mahkamah berpendapat, hukuman paling berat harus dikenakan terhadap perayu yang bertindak secara ganas dan tidak berperikemanusiaan ke atas anak kandungnya yang tidak berdaya.
Hakim Azmi ketika membacakan keputusan itu berkata, bekas anggota tentera itu turut mendera mangsa dengan kejam sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan parah di bahagian perut selain ditendang dan dipijak.
Keterangan kes menyatakan, terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman terhadap mangsa.
“Undang-undang dipinda dua tahun lalu yang memberi mahkamah budi bicara menjatuhkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.
“Kami bagaimanapun mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan kepentingan awam dan sebagai pencegahan kepada bakal pesalah lain,” katanya ketika menolak rayuan perayu.
Panel itu turut berpuas hati, hakim bicara tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang atau fakta untuk mewajarkan campur tangan mahkamah.
Mohammad Abdullah masih mempunyai hak untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Perayu telah berkhidmat selama 17 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dia didapati melakukan kesalahan itu terhadap Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan pada pukul 11.30 malam, 31 Januari 2018.
Pada 22 Ogos 2023, beliau disabitkan kesalahan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail dan dijatuhi hukuman mati.
Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi dan Aina Melina Johan Ariff Lim mewakili Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa mewakili pendakwaan. – MalaysiaGazette















Dengan apa jua alasan rayuan terhadap sang pelaku yang juga berhak untuk membuat rayuan atas dasar pernah berkhidmat sebagai seorang tentera selama 17. Hukuman gantung sampai mati adalah sesuatu kewajaran terhadap apa yang telah beliau lakukan. Terhadap darah daging sendiri saat itu baru berusia 7 tahun. Demi memberi impak terhadap pelaku serupa yang lain. Menjadi pengajaran adalah tanggungjawab terhadap apa yang beliau telah lakukan. Sekiranya dengan peluang yang bakal pun beliu terima. Itu pastinya akan menggiatkan lagi kesalahan penderaan kepada pihak yang seangkatan dengannya kemudian. Berbanding dengan orang awam seandanya.