Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dua minggu lalu.

Tertuduh, Lee Yuen fei, 45, dan Trieu thi Mai, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan setelah kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 38,022 gram (g).

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 8.20 malam di Jalan Seri Orkid 25, Taman Seri Orkid, pada 14 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau dengan penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika disabitkan dengan kesalahan.

Mereka turut dituduh memilik dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 1,375 g di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di Seksyen 12(3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman denda tak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos sebagai sebutan semula kes untuk status laporan kimia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast