Pengarah Biro Hal Ehwal Syariah Pemuda AMANAH Nasional, Hafiz Roslan.

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Pas didakwa semakin tersasar daripada prinsip inklusif Islam For All yang pernah menjadi teras perjuangan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengarah Biro Hal Ehwal Syariah Pemuda AMANAH Nasional, Hafiz Roslan berkata, kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan secara terbuka oleh pimpinan Pas sejak kebelakangan ini telah mencemarkan imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

“Ucapan-ucapan bersifat rasis dan sempit ini bukan sahaja menggugat keharmonian negara majmuk seperti Malaysia malah menyuburkan benih kebencian antara kaum.

“Ada hadnya jika Pas mahu berhaluan kanan. Mereka perlu sedar dan sesuaikan pendekatan dengan konteks kenegaraan Malaysia yang meraikan kepelbagaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pas juga disarankan untuk kembali memahami prinsip kenegaraan yang sebenar serta mempelajari semula nilai-nilai Islam yang menjunjung keadilan, hormat terhadap kepelbagaian dan ihsan dalam tadbir urus.

“Malangnya, pendekatan Pas hari ini kelihatan semakin eksklusif dan sempit, jauh menyimpang daripada semangat Islam yang diajarkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz,”  tambahnya.

Politik menghasut dan memainkan sentimen perkauman yang ditonjolkan oleh Pas perlu dihentikan segera demi memelihara keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

“Cukup-cukuplah. Islam tidak pernah mendidik umatnya untuk membenci, menindas atau merasakan diri lebih tinggi daripada bangsa lain.

“Oleh itu, kami ingin menyeru agar kita semua kembali kepada semangat Islam yang sebenar iaitu rahmah, progresif dan menyatukan. Janganlah warisan perjuangan Nik Aziz dikuburkan oleh pewarisnya sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast