Mohd Azrul didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini bagi tuduhan menerima suapan.

JOHOR BAHRU – Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi tuduhan menerima suapan RM3,000 pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azrul Nazwan A Rani, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang pengurus restoran sebagai dorongan untuk dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini antara pukul 8 hingga 9 malam pada 25 Julai tahun lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan itu jika suapan itu dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Arifin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes itu tidak boleh di jamin.

Sementara itu, Peguam Ahmad Syafiq Mohd Ghazali mewakili Mohd Azrul memohon jaminan sebanyak RM5,000 memandangkan tertuduh menanggung isteri dan ibu mentua selain terpaksa menjalani dialisis buah pinggang tiga kali seminggu yang menelan kos sebanyak RM3,920 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim turut menetapkan 5 Ogos depan sebutan semula bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast