Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim.

KUANTAN – Taat setia ahli akar umbi yang kekal kepada parti menjadikan UMNO masih berdiri teguh sehingga hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, perjuangan UMNO tidak pernah bergantung kepada individu semata-mata.

“Pemimpin datang dan pergi. Nama-nama besar naik dan turun. Tetapi yang tetap teguh, yang tetap setia, yang tidak pernah meninggalkan parti walau diuji badai adalah akar umbi,” katanya dalam kenyataan.

Ia dapat dilihat pada masa ini ketika semua bahagian parti mengadakan mesyuarat menjelang Perhimpunan Agung UMNO.

Hari ini, kata Kamil, cawangan-cawangan UMNO masih berdiri kerana ada ahli yang kental semangatnya, ada pejuang di bawah yang tidak pernah berpaling walaupun parti pernah terhumban ke titik paling gelap dalam sejarah.

“Setia mereka bukan pada jawatan, bukan pada manusia tetapi pada perjuangan, pada prinsip, pada maruah bangsa.

“Kita kena ingat UMNO hidup kerana akar umbi hidup. UMNO kuat kerana akar umbi kuat. Kalau akar umbi goyah, parti juga akan tumbang,” katanya.

Tetapi, Kamil menegaskan, selama mana akar umbi terus teguh selama itulah UMNO tidak akan pernah mati.

Inilah hakikat yang semua pihak mesti sedar dan insaf tanpa akar umbi, pemimpin di atas tiada makna, katanya.

Menurutnya, ahli mesti menanam keyakinan bahawa cawangan dan ahli bukan sekadar jentera tetapi nadi perjuangan yang mengalirkan darah ke seluruh tubuh parti.

“Jangan sesekali membiarkan cawangan jadi lesu kerana politik peribadi dan perebutan kuasa. Cawangan mesti diangkat sebagai tapak membina kekuatan dan medan menyemai kesetiaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast