Gambar fail

JOHOR BAHRU – Semua agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri diarah menyediakan buah-buahan tempatan dalam hidangan yang disediakan bagi majlis rasmi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan menggiatkan semula makan buah-buahan tempatan bagi memastikan industri berkenaan lebih berkembang sekali gus menghasilkan pendapatan lebih tinggi kepada petani.

“Kerajaan sejak dulu dah galak (makan buah-buahan tempatan) tetapi kadang-kadang orang agak lalai sekarang.

“Oleh itu, kita akan giatkan semula kempen untuk makan buah-buahan tempatan.

“Perancangan kempen makan buah-buahan tempatan sudah ada malah peruntukan juga disediakan untuk giat semula kempen ini.

“Program kempen pertama (makan buah-buahan tempatan) adalah pada 5 Julai ini di Tawau, Sabah, sebelum ia diperluas ke negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Hari Nanas Malaysia di Pavilion Nanas Karnival Jom Heboh (KJH), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Pada 20 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Anwar dilaporkan berkata, penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara, tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast