GEORGE TOWN – Sistem pemantauan digital kebersihan premis makanan, i-GRED, disaran dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu kerajaan mencapai sasaran sifar keracunan makanan.
Pengarah Urusan MYEK Global Sdn Bhd, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad berkata, i-GRED membolehkan orang awam menilai tahap kebersihan premis makanan secara langsung dan pantas, sekali gus menjadi sistem sokongan kepada pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, aplikasi i-GRED ini terbukti berkesan selepas digunakan sejak 2019 di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Pengusaha premis turut diberi peringatan berkaitan vaksin tifoid dan sistem ini mengumpul maklumat secara masa nyata dengan ciri keselamatan seperti GPS,” katanya, hari ini.
“Sistem ini juga menjimatkan tenaga kerja pemeriksa dan membolehkan liputan lebih meluas dengan kos minimum hanya RM10 sebulan ditanggung oleh pengusaha dan dimasukkan dalam lesen perniagaan.

“Data KKM menunjukkan peningkatan mendadak kes keracunan makanan kepada 51 kes bagi setiap 100,000 orang pada 2023, berbanding hanya 18.4 pada 2021,” katanya pada sidang media di Hotel Eastin, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kejayaan pelaksanaan i-GRED di Shah Alam, KKM dan KPKT telah menyarankan supaya sistem ini dikembangkan ke semua PBT, selaras dengan komitmen Kerajaan Madani menjaga kebajikan rakyat melalui keselamatan makanan.
“i-GRED bukan sahaja bantu pantau premis makanan, malah berpotensi digunakan dalam sistem kawalan denggi melalui teknologi pemetaan digital dan data GPS.
“Kita telah melakukan sesi libat urut melibatkan 50 PBT sejak Januari lalu selain sistem sama diguna pakai di Taiwan serta Switzerland.
“Justeru, kita bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan dalam menjayakan sistem ini ke arah negara yang bebas daripada keracunan makanan,” katanya.
Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) turut menyambut baik inisiatif ini.
Presidennya, Datuk Suresh, menyatakan bahawa PRIMAS bersetuju dengan pelaksanaan sistem i-GRED oleh kerajaan kerana ia mampu meningkatkan tahap kebersihan dan profesionalisme dalam kalangan pengusaha restoran, khususnya dalam sektor makanan India yang mempunyai pelanggan pelbagai kaum.
Beliau turut menyatakan komitmen PRIMAS untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan sistem ini diterima baik oleh ahli-ahli dan dilaksanakan secara berkesan di peringkat premis masing-masing. – MalaysiaGazette
















