Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 2025/1447 ketika di Pusat Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dengan tidak menghidupkan permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, di negara ini perpaduan yang erat serta majmuk telah dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan kuasa tanggungjawab dan muafakat.

“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.

“Ini bermaksud urus tadbir kerajaan mesti mengikut landasan syariat Islam bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal,” titah baginda sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini, .

Majlis itu turut dihadiri Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sultan Ibrahim bertitah, Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna mencukupi seluruh aspek kehidupan.

Justeru baginda bertitah, jangan ada pihak yang menunggang agama, untuk kepentingan parti politik mereka atau menyebarkan fitnah kebencian yang akan memecah belahkan masyarakat.

“Sejak dulu saya sentiasa tegaskan pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat untuk agenda parti politik.

“Marilah kita menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni, kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian,” titah baginda.

Terdahulu baginda bertitah, peristiwa hijrah, Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah adalah sejarah permulaan tamadun Islam yang sangat besar maknanya.

Titah baginda, Rasulullah SAW telah memberikan contoh dan cara pemerintahan Islam yang sebenar sehingga berjaya menyatukan masyarakat Madinah berbeza suku kaum dan agama.

“Oleh itu saya meyeru kepada semua umat Islam supaya memahami tanggungjawab untuk membina tamadun berteraskan nilai-niali Islam bukan sekadar pembangunan fizikal sahaja,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast