Mohd Syahir Che Sulaiman.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk menggalas tugas Menteri Ekonomi disifatkan sebagai petunjuk kepada ketandusan tokoh ekonomi dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan PKR.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pelantikan Amir Hamzah dilihat tepat berdasarkan latar belakang korporat dan reputasi beliau sebagai teknokrat berwibawa.

Namun, langkah itu tetap menimbulkan persoalan yang lebih besar terhadap kemampuan blok kerajaan menyediakan calon politik yang benar-benar layak mengemudi Kementerian Ekonomi.

“Pelantikan ini juga secara tidak langsung mencerminkan kekurangan Ahli Parlimen dalam kalangan PH dan PKR yang layak menerajui Kementerian Ekonomi.

“Selain itu, ia juga menimbulkan persoalan terhadap kualiti kerja yang ditinggalkan oleh bekas menteri terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan meletakkan dua tugasan utama kepada Amir Hamzah dalam waktu yang sama iaitu pelaksanaan subsidi bersasar dan penyusunan semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan sahaja mencabar, malah membayangkan kegagalan peralihan tugas yang tersusun di peringkat pentadbiran.

Mengambil peluang itu, beliau turut menggariskan lima saranan utama yang perlu dipertimbangkan dalam penggubalan RMK13 bagi memastikan dokumen dasar tersebut benar-benar mencerminkan keperluan rakyat dan keadilan antara wilayah.

Antaranya, meneruskan peruntukan 50 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) kepada enam negeri sedang membangun sebagaimana digariskan dalam RMK12, selain melaksanakan dasar cukai progresif agar beban cukai ditanggung lebih oleh golongan kaya, bukan majoriti rakyat.

Mohd Syahir juga menggesa kerajaan merangka formula baharu bagi perkongsian hasil dan sumber cukai antara kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk agihan royalti petroleum yang lebih adil dan telus kepada negeri pengeluar.

Selain itu, beliau mencadangkan pengupayaan bakat dan pemilikan tempatan dalam sektor strategik seperti pelaburan, perkhidmatan, pertanian dan industri berkemahiran tinggi bagi menjamin kemampanan ekonomi jangka panjang.

Seterusnya, mempersiapkan negara ke arah status ‘negara menua’ dengan memperkukuh kualiti hidup, sistem kesihatan dan sokongan sosial rakyat.

“Saya doakan Datuk Seri Amir Hamzah diberi kekuatan dan ilham untuk melaksanakan amanah besar ini.

“Namun hakikatnya, langkah ini juga satu isyarat jelas terhadap krisis kepercayaan terhadap barisan Ahli Parlimen kerajaan sendiri dalam memegang portfolio sepenting Kementerian Ekonomi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast