Seorang lelak terkorban manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta di Kilometer 127.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anaknya mengalami kecederaan apabila kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan membabitkan sebuah lagi kenderaan di Kilometer 127.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.51 pagi tadi, mangsa, Wan Syamilludin Wan Radzi, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isterinya, Nazirah Zainuddin, 31, mengalami kecederaan pada tulang belakang manakala dua anak mereka berusia enam dan lapan tahun dilaporkan cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian jam 8.02 pagi mendapati, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Proton Saga BLM dan Proton Wira membabitkan lima mangsa.

Katanya, seramai empat mangsa terdiri anak beranak menaiki Kereta Proton Wira manakala kereta Proton Saga dinaiki seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami cedera ringan.

“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba termasuk seorang yang dilaporkan meninggal dunia.

“Mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan selanjutnya dengan menaiki ambulans Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya hari ini.

Tambah beliau, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 8.39 pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast