KUALA LUMPUR – Polis telah menerima tujuh laporan berhubung kejadian sebuah lori melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Stesen LRT Glenmarie, Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 2.10 petang ketika pemilik kenderaan sedang menggunakan perkhidmatan LRT.
“Pemilik hanya menyedari kerosakan pada kenderaan masing-masing selepas pulang dari tempat kerja.
“Setakat jam 4.00 petang semalam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima tujuh laporan berkaitan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan yang terlibat dipercayai sebuah lori, namun jenis serta identiti pemandunya masih belum dikenal pasti.
“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Kami kini sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan sekitar bagi membantu siasatan dan mengesan kenderaan terlibat,” tambahnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa gambar dan video menunjukkan kenderaan yang rosak tular di media sosial, dipercayai akibat dilanggar lori di kawasan parkir berhampiran stesen LRT berkenaan. – MalaysiaGazette















