Sebahagian peserta Festival Animania di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – ‘Costume play’  atau ‘cosplay’ merupakan sejenis seni persembahan di mana individu menggayakan kostum dan watak daripada anime, manga, permainan video, filem atau siri televisyen.

Lebih daripada sekadar menyarung pakaian, cosplay turut merangkumi solekan, gaya rambut, prop dan ekspresi yang menyerlahkan karakter, seolah-olah menghidupkan watak fiksyen itu ke dunia nyata.

Meskipun berdepan cabaran dan persepsi negatif, segelintir cosplayer Muslimah terus gigih meneruskan minat mereka dalam dunia cosplay dengan cara tersendiri yang tetap menjaga batasan sebagai seorang Muslim.

Bagi Dhia Nur Adlina Noorazman, walaupun banyak watak cosplay menampilkan rekaan kostum yang mendedahkan, kreativiti tetap boleh diterjemahkan dengan cara yang sesuai dan sopan.

Cosplay bukan tentang meniru 100 peratus. Kalau kita nak jadi kreatif dan masih menjaga aurat, tak salah pun.

Dhia Nur Adlina

“Saya tak kisah kalau ada yang rasa ia tak ikut hijab sepenuhnya, sebab bagi saya yang penting, saya tahu apa batas saya dan saya tetap berpegang kepada agama,” jelasnya.

Seorang lagi cosplayer, Dhia Nur Hannah, pula berkata, soal pandangan orang luar bukan penghalang untuk terus menikmati hobi tersebut.

Dhia Nur Hannah

“Saya pakai apa yang saya rasa sesuai. Kalau kostum terlalu ketat, saya ubah suai atau tutup bahagian yang perlu. Kalau orang nak tuduh pun, biarlah.

Kita tahu niat kita dan kita hanya nak berseronok dengan cara yang baik,” katanya ketika ditemui di Festival Animania di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Filza Hanani yang merupakan pekerja dalam sektor swasta menambah, masyarakat kini semakin terbuka terhadap kehadiran cosplayer Muslimah.

Jelasnya, semakin ramai yang mula memahami bahawa cosplay boleh disesuaikan mengikut nilai budaya dan agama, selagi ia tidak melampaui batas.

“Kalau dulu orang pandang pelik, sekarang ramai dah biasa nampak. Bila nampak orang pakai tudung tapi berpakaian macam karakter game atau anime, mereka dah tahu itu cosplay.

Filzah Hanani

Lagipun ramai yang dah pandai sesuaikan gaya hijab ikut watak, contohnya dari segi aksesori,” katanya.

Bagi ketiga-tiga mereka, cosplay adalah ruang untuk mengekspresikan minat dan kreativiti, bukan sekadar meniru watak semata-mata.

Mereka berharap lebih ramai masyarakat dapat menerima cosplayer Muslimah sebagai sebahagian daripada komuniti kreatif yang positif dan menghormati batas agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast