Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa polis mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras kegiatan ah long sehingga ke akar umbi.

Dalam masa sama, Menterinya, Nga Kor Ming menyeru orang ramai yang berkeperluan supaya tidak terjebak dengan pinjaman haram.

Sebaliknya, kata beliau, orang ramai boleh mendapatkan pinjaman melalui saluran sah iaitu pemberi pinjam wang berlesen yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

“Di bawah akta tersebut, kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun dan bagi yang bercagar tidak melebihi 12 peratus setahun.

“Pemberi Pinjam Wang juga tidak boleh mengenakan jumlah kadar faedah pada suatu jumlah yang melebihi jumlah pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian kebakaran tiga rumah teres di Taman Tasek Gelugor Utama, Pulau Pinang Selasa lalu, yang didakwa dilakukan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long.

Dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, tiga buah rumah, lima kereta dan empat motosikal di taman perumahan terbabit musnah dalam kebakaran tersebut, namun tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan.

Seorang daripada mangsa kebakaran kemudiannya memuat naik hantaran di Facebook mendakwa kebakaran dilakukan Ah Long yang mahu melakukan khianat terhadap rumah lain.

Sementara itu, Kor Ming berkata, KPKT memandang serius kegiatan pinjaman wang haram oleh ah long yang mengambil kesempatan terhadap golongan berpendapatan rendah dan terdesak serta menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, ah long atau pemberi pinjaman wang haram sering mengambil kesempatan terhadap individu yang terdesak akibat kesempitan kewangan dengan memerangkap mereka dalam kitaran hutang ganas melalui kadar faedah yang melampau, gangguan serta keganasan.

Tambahnya, Seksyen 29(B) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) melarang pemberi pinjam wang berlesen atau wakilnya daripada mengunjungi kediaman peminjam atau tempat mereka mencari rezeki bagi tujuan kutipan bayaran balik pinjaman termasuk dengan tujuan mengugut peminjam.

Sehubungan itu, tegas beliau, sekiranya berlaku pelanggaran terhadap peruntukan tersebut, orang ramai digesa segera membuat laporan kepada KPKT pihak polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak terbabit.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak pemberi pinjam wang yang berlesen dan berdaftar dengan KPKT melalui aplikasi i-Kredikom atau menghubungi pihak kementerian,” katanya.

Tambah beliau, KPKT akan terus komited dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemberi pinjaman wang dan memperluas kesedaran kepada orang awam mengenai risiko pinjaman haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast