Woo Kah Leong

KUALA LUMPUR – DAPSY Kebangsaan menyeru Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan reformasi pendidikan jangka pendek dengan memberikan kursus dan universiti pilihan pertama kepada semua pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0.

Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, langkah itu adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih para pelajar STPM, selain mencerminkan prinsip keadilan serta meritokrasi yang harus menjadi tunjang kepada sistem pendidikan tinggi negara.

Menurut beliau, dalam sistem prauniversiti sedia ada, matrikulasi mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar daripada STPM, sehingga menyebabkan ramai pelajar cemerlang STPM tidak mengira kaum gagal untuk memperoleh pilihan universiti awam dan kursus utama mereka.

Jelasnya, ketidakseimbangan sistem prauniversiti yang menjejaskan semangat, motivasi dan masa depan pelajar STPM itu tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan terkemuka seperti Universiti Malaya (UM) dan sebagainya.

“Selama ini, DAPSY menegaskan reformasi pendidikan bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti dan daya saing, tetapi juga membantu pelajar untuk mengubah kehidupan keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Kah Leong, DAPSY berpendirian KPT di bawah Malaysia Madani perlu berbeza dengan era kerajaan sebelum ini dan harus mengambil langkah reformasi berpandukan prinsip keadilan yang paling asas bagi membina sistem pendidikan tinggi yang telus dan adil, menyemarakkan meritokrasi dan menunjukkan semangat kerajaan untuk menghargai pelajar cemerlang.

Katanya, sebagaimana kerajaan menjamin pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A diberikan kemasukan automatik ke Matrikulasi, pendekatan sama harus diperluaskan kepada pelajar STPM sebagai langkah reformasi yang saksama.

Tegasnya, sistem pendidikan negara mesti berlandaskan pencapaian (merit), keadilan sosial, dan keperluan (need-based).

“Kemasukan ke universiti awam harus dilakukan secara adil, telus dan berdasarkan prestasi akademik pelajar agar pelajar cemerlang boleh mendapat peluang pendidikan yang saksama,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, sebagai reformasi jangka masa panjang pula, DAPSY menyeru KPT membuat kajian menyeluruh dalam usaha menyatukan sistem prauniversiti, terutamanya antara STPM dan Matrikulasi.

Jelasnya, ia supaya semua pelajar prauniversiti mempunyai permulaan yang sama dalam menuntut ilmu dan tiada sesiapa yang ditinggalkan lantaran ketidakadilan sistem.

“Malaysia tidak boleh lagi membiarkan pelajar cemerlang STPM diabaikan, semua pihak berkepentingan sewajarnya meningkatkan usaha reformasi dalam pelbagai bentuk demi kemaslahatan dan kelestarian sistem pendidikan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast