GEORGE TOWN – Sebanyak enam rumah dan 11 kenderaan di Flat Taman Tun Sardon di Gelugor, di sini, mengalami kerosakan akibat dibadai puting beliung, hari ini.
Kejadian jam 4 pagi itu membabitkan dua blok flat, apabila sebahagian bumbung salah satu bangunan tercabut dan diterbangkan angin kencang, sebelum serpihan dan objek lain menghempap rumah serta kenderaan di blok bersebelahan.
Menurut penduduk, Mohd Izafil Rafis, 25, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi angin kuat sebelum ternampak pusaran angin menerbangkan objek.
“Saya buka tingkap dan nampak pusaran angin bawa serpihan terbang ke arah blok sebelah. Bunyinya sangat kuat, ini kali pertama saya lihat kejadian seperti ini depan mata,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zuliani Elias, 42, pula memaklumkan dua kereta dan sebuah motosikal miliknya rosak teruk akibat dihentam objek berterbangan.
“CCTV berbunyi selepas kesan pergerakan, kami tengok dari skrin saja. Bila keadaan reda baru keluar. Kenderaan saya pecah cermin, lampu dan kemek teruk. Anggaran kerugian lebih RM10,000.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Rohaizat Hamid yang turut meninjau lokasi memaklumkan, tiada pokok tumbang dilaporkan dan kerja pembersihan giat dijalankan.
“Kejadian ribut pernah berlaku sebelum ini, tetapi ini antara yang paling teruk dialami penduduk di kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette















