Dr Dzulkefly menyaksikan penyerahan dokumen dalam Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, Pasir Gudang  hari ini.

PASIR GUDANG – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui negara sedang berdepan dengan isu kekurangan jururawat yang kronik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun meminta masa untuk menyelesaikannya.

Antara langkah yang diambil dengan meningkatkan jumlah pelatih bawah KKM.

“Isu kekurangan jururawat atau sumber manusia kini menjadi isu utama dihadapi KKM berbanding digitalisasi. Isu kekurangan jururawat satu realiti yang KKM secara berterusan sedang tanganinya.

“Kita pun telah mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih tidak dapat menampung kekurangan.

“KKM mengalami kesukaran dapatkan jururawat kerana perjawatan ada, namun tiada yang mahu.

It has been a chronic issues (kekurangan jururawat) but no quick fix. Berikan KKM sedikit masa menangani isu kekurangan jururawat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang di sini, hari ini.

Februari lalu, seramai 6,919 petugas kesihatan bawah KKM dilaporkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara tahun 2020 hingga 2024.

Dr Dzulkefly berkata, ini membabitkan seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak direkodkan meletak jawatan, antara 2020 hingga tahun lalu.

Selain seramai 1,856 pegawai perubatan tetap, diikuti 3,846 pegawai perubatan kontrak dan 1,217 pakar perubatan, turut meletak jawatan dalam tempoh sama.

Keadaan itu dikenal pasti berpunca akibat tawaran manfaat yang lebih besar, sekiranya petugas kesihatan terbabit beralih ke sektor swasta.

Tahun lalu, kekurangan jururawat dilaporkan diunjurkan kepada hampir 60 peratus menjelang 2030.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, antara langkah menanganinya termasuk kerjasama antara sektor awam dan swasta dapat membantu untuk mengatasi kekurangan petugas kejururawatan di Malaysia yang diperlukan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang mengambil beberapa pendekatan untuk memastikan bilangan jururawat negara dipertingkatkan segera.

“Ini termasuklah bersama dengan sektor swasta dan ada ada tindakan bersifat interim ataupun transit serta transisi dengan pengambilan jururawat daripada luar,” ujarnya.

Namun apa yang  paling mustahak katanya, adalah dengan kita meningkatkan moral serta semangat kerja golongan jururawat.

“Itu yang paling penting di samping isu lain membabitkan gaji dan ganjaran,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast