KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas mendakwa wujud dua standard dalam pelantikan tokoh-tokoh utama di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat masih belum disambung walaupun beliau menerima sokongan padu dalam komuniti perundangan, akademik, masyarakat sivil dan rakyat.
Sedangkan peluang penyambungan itu dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, namun tidak diambil oleh kerajaan.
Ironinya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berdepan dengan pelbagai bantahan termasuk daripada ahli Parlimen, tokoh undang-undang serta aktivis anti-rasuah, telah diberikan lanjutan perkhidmatan sebanyak tiga kali – walaupun terdapat kontroversi yang belum dijelaskan secara tuntas kepada rakyat.
Ahmad Fadhil berkata, beliau tidak mempertikaikan kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan namun persoalan lebih besar adalah apakah standard atau kriteria yang digunakan dalam membuat pertimbangan pelantikan berkenaan.
“Adakah merit dan integriti masih menjadi asas, atau pertimbangan politik telah mengatasi segala-galanya?” soal beliau sambil menimbulkan persoalan sama ada keputusan tidak menyambung perkhidmatan Tun Tengku Maimun berpunca daripada beberapa kenyataan dan keputusan beliau yang tidak selari dengan kehendak kerajaan.
“Bukanlah saya mempertahankan semua keputusan Tun Tengku Maimun. Bahkan, ada yang mungkin tidak selari dengan aspirasi perjuangan Pas. Namun, yang dipersoalkan ialah kriteria dan asas pertimbangan yang digunapakai oleh kerajaan,” tambahnya.
Beliau memberi amaran jika prinsip dan ketegasan dijadikan sebab untuk ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian dijadikan alasan untuk dilanjutkan, maka kerajaan sedang menghancurkan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara.
“Ketelusan bukan lagi pilihan – ia adalah keperluan mendesak dalam menjunjung kedaulatan undang-undang. Hentikan permainan persepsi. Tegakkan prinsip keluhuran perlembagaan dan kewibawaan institusi,” tegasnya sambil menyindir kerajaan hari ini boleh sahaja meneruskan budaya sedia ada, namun dengan peringatan keras bahawa “anda hampir pasti tidak akan kekal menjadi kerajaan selepas PRU16”. – MalaysiaGazette
















