Polis menggesa wanita yang terlibat mencuri telefon bimbit di sebuah premis supaya menyerah diri di balai polis dengan segera. Gambar: Media sosial

KAJANG – Polis sedang memburu seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah telefon bimbit milik seorang wanita tempatan di sebuah premis perniagaan di Batu 9 Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan, pihaknya telah menerima satu laporan daripada mangsa, seorang wanita tempatan berusia 20an, pada pukul 9.48 malam 27 Jun lalu.

Menurut laporan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bertugas di premis berkenaan dan mendapati, telefon bimbit jenis Huawei Nova 5G miliknya yang diletakkan di atas meja kaunter telah hilang dan dipercayai dicuri.

“Hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu menunjukkan, seorang wanita Melayu dilihat mengambil telefon bimbit tersebut yang ditinggalkan di kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, polis menasihati suspek agar segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Insp. Ammar Mohd Tahir di talian 018-2586153.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan wanita tersebut yang dilihat mengambil sebuah telefon bimbit yang sedang dicas di atas kaunter sebuah premis.

Wajah wanita yang bertudung dan berpakaian bertompok putih hitam kelihatan jelas dalam rakaman itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast